Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PBM sahkan terima permohonan keahlian Zuraida
Diterbitkan:  May 26, 2022 4:26 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengesahkan menerima permohonan keahlian daripada Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin, beberapa jam selepas dia mengumumkan keluar daripada Bersatu.

Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad mengalu-alukan kemasukan Zuraida dan berkata permohonan itu akan tertakluk kepada proses sewajarnya, termasuk perbincangan dengan Majlis Tertinggi parti.

"Bagi pihak PBM, kami amat berbangga dan teruja dengan perkara ini memandangkan beliau merupakan seorang ahli parlimen yang berdedikasi, berwibawa dan mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang sebagai pemimpin yang dekat kepada rakyat di akar umbi.

"Permohonan ini akan melalui proses sewajarnya iaitu melalui perbincangan bersama Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi dan keputusan permohonan tersebut akan dimaklumkan sejurus selepas itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal hari ini, Zuraida mengesahkan keluar daripada Bersatu tetapi menegaskan dia akan terus menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam satu kenyataan, Zuraida berkata dia memutuskan untuk menyertai PBM kerana prinsip penglibatan pelbagai kaum, pemerkasaan wanita, pemerkasaan belia, pembangunan ekonomi, pendidikan, dan kemajuan sains dan teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

"Saya melihat banyak potensi dalam PBM, terutama pada masa rakyat Malaysia sudah bosan dengan politik lama, yang membantutkan perkembangan negara," katanya.

PBM telah dilancarkan pada 21 Dis tahun lepas dan diketuai oleh Ahli Parlimen Julau Larry Sng. Dengan kemasukan Zuraida ke parti itu, PBM kini mempunyai tiga ahli parlimen dan dua Adun.

Spekulasi mengenai Zuraida keluar dari Bersatu timbul sejak akhir tahun lalu.

Spekulasi ini semakin menjadi-jadi selepas sebilangan besar ahli Penggerak Komuniti Negara - sebuah persatuan yang diketuai oleh sekutu Zuraida - secara rasmi menyertai PBM.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS