Pengadu dalam perbicaraan rogol membabitkan Mohd Zulfahimin Mahdzir, iaitu pembantu kepada Adun Gombak Setia Hilman Idham, menafikan dia membuat semula laporan berhubung kes itu demi wang.
Ketika pemeriksaan semula dengan pihak pendakwaan, wanita berusia 33 tahun itu berkata pertemuannya dengan Hilman pada 6 Disember 2020 - iaitu sehari selepas kejadian didakwa terjadi - adalah untuk mendapatkan penjelasan apa yang berlaku sehingga dia mendapati dirinya bersendirian tanpa pakaian dan dikatakan telah dirogol tertuduh di sebuah bilik di Dorsett Hartamas Kuala Lumpur
"Saya tak pernah minta wang. Orang kerajaan ada duitkah?
"Saya ada wang tapi tiada kuasa," katanya yang juga menjadi saksi pendakwaan keempat dalam perbicaraan terhadap Zulfahimin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
"Saya tak pernah kata seperti yang disebut kenyataan itu, (iaitu) minta wang (dari Hilman)," katanya ketika menjawab soalan timbalan pendakwa raya Zilfinaz Abbas.
Dia juga berkata Hilman yang mengaturkan pertemuan itu, di mana dia didakwa memohon maaf bagi pihak Zulfahimin.
Malaysiakini tidak menyiarkan nama pengadu untuk melindungi identitinya.
Pengadu pertama kali membuat laporan polis pada 5 Disember 2020 sebelum menarik balik tiga hari kemudian. Ketika itu dia berkata tindakan itu dibuat atas keputusan sendiri.
Laporannya yang mengaitkan Hilman, dengan mendakwa dia merancang insiden itu dengan mengadakan sambutan hari jadi untuknya dan parti di lounge VVIP, dibuat pada 7 Januari 2021.
Dalam keterangan semalam, pengadu mengenal pasti Zulfahimin sebagai individu terakhir yang diingati berada di atas badannya sebelum dia pengsan dalam keadaan mabuk, sebelum terjaga sekitar jam empat pagi dan mendapati ada tanda penetrasi selain kondom terpaki di bilik mandi.
Sementara itu, dia hari ini berkata beberapa perkara sebelum insiden yang masih diingatinya adalah bau minyak wangi Tom Ford yang sering dipakai Hilman dan suaranya, ketika apa yang disifatkannya sebagai "perjalanan yang lama" (a very long walk).
Kawan baik berpakat dengan Hilman
Ketika perbicaraan hari ini, wanita itu menegaskan Zulfahimin mengambil kesempatan terhadap keadaannya yang mabuk, di mana dia dibawa ke bilik hotel tanpa pengetahuan dan bukan dihantar ke rumah bersama-sama kawan baiknya, Nur Farihatul Mardziah Mohd Fisol atau "Mai", yang turut menyertai sambutan itu.
"Zul ambil kesempatan terhadap saya. Dia rogol saya. Malam itu saya beri kepercayaan penuh pada Hilman," katanya lagi.
"Setiap kali sebelum saya tidur dengan Hilman, dia akan pastikan saya tahu yang kami akan tidur bersama. Dia gentleman dan akan dapatkan keizinan saya.
"Tapi pada masa itu (malam insiden), saya hanya lihat Zul sebagai pembantu Hilman, dan Hilman sendiri tak sebut tentang tempah bilik hotel," katanya lagi.
Dia kemudian mendakwa kawan baiknya berpakat dengan Hilman ketika mereka bersama-sama meninggalkan hotel dan membiarkannya di bilik.
Mengimbas kembali hubungannya denan Hilman, dia berkata ada "saling tarikan" antara mereka sejak diperkenalkan pertama kali oleh seorang kenalan di bar curut kegemaran ahli Bersatu itu, sekitar 2020.
"Saya berbangga sebagai perempuan yang berdikari, dan semua orang tahu ini...Satu-satunya kesilapan saya adalah saya jatuh cinta dengan ahli politik, tetapi tiada kepentingan politik (dalam hubungan). Saya tertarik dengan charm dan kebijaksanaannya. Dia begitu mengambil berat.
"Dia begitu ambil berat terhadap saya dan buat saya rasa istimewa. Saya tak sangka dia akan buat parti hari jadi untuk saya dua kali," katanya lagi.
Perbicaraan di depan hakim Mahkamah Sesyen Norhasniah Abdul Razak akan bersambung pada 21 dan 22 Julai serta 10 hingga 12 Ogos.