Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pencen: PM, kabinet sedia bincang dengan pesara hakim
Diterbitkan:  May 26, 2022 3:56 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Perdana menteri, kabinet dan kerajaan bersedia untuk memulakan perbincangan dengan 35 individu terdiri daripada bekas hakim serta tujuh balu bekas hakim berhubung dakwaan kegagalan menetapkan kenaikan pencen dan faedah diterima mereka.

Ketika dihubungi, peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan mengesahkan dia memaklumkan perkara itu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semasa pengurusan kes hari ini berhubung tuntutan mahkamah bekas hakim dan tanggungan mereka itu.

“Kami menerima arahan untuk memulakan perbincangan dengan plaintif berhubung perkara itu,” katanya.

Shamsul mewakili perdana menteri, kabinet, kerajaan dan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam.

Keempat-empat mereka ini adalah defendan dalam tindakan undang-undang itu. Mereka tidak dinamakan dalam saman pemula.

Perdana menteri sekarang ialah Ismail Sabri Yaakob.

Shamsul menambah, perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya pada 14 Julai.

Plaintif, bekas hakim dan tanggungan mereka, diwakili oleh peguam Christopher Leong.

Pada 14 Feb lalu, mahkamah mencadangkan pengantaraan atau mediation sebagai kaedah untuk pihak-pihak cuba menyelesaikan masalah mereka.

Pada 24 Jan lalu, Seramai 35 pesara hakim termasuk balu atau tanggung mereka mengemukakan saman pemula terhadap kerajaan Malaysia dan tiga yang lain berhubung kegagalan menetapkan kenaikan pencen dan faedah yang diterima mereka sejak 2015.

Mengikut kertas kausa, plaintif memohon deklarasi bahawa kegagalan untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain bagi setiap plaintif mengikut Seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45) melalui perintah dalam Warta telah melanggar Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka memohon perintah bahawa defendan hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain yang diberikan kepada setiap plaintif berkuat kuasa dari 1 Julai 2015 mengikut Seksyen 15B(2) akta tersebut.

Selain itu, mereka memohon perintah mahkamah supaya defendan membayar amaun yang setiap plaintif berhak terima sejak 1 Julai 2015 selain kos, faedah dan perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif berkata mengikut Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971, pencen hakim bersara dan orang tanggungan hakim yang telah meninggal dunia diselaraskan secara automatik berdasarkan gaji semasa hakim masih berkhidmat yang disemak secara berperingkat dari semasa ke semasa sebagaimana yang wajib dilakukan menurut Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut plaintif, cara pengiraan pelarasan dinyatakan dalam Jadual Ketiga dan Keempat akta terbabit tetapi ia dipadamkan daripada akta itu menyebabkan hak mereka terjejas apabila gaji hakim yang sedang berkhidmat dinaikkan berkuat kuasa pada 1 Julai 2015.

"Di bawah peruntukan Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971 (sebelum pindaan dibuat), pencen plaintif akan diselaraskan secara automatik sejajar dengan kenaikan gaji hakim yang masih berkhidmat.

“Bagaimanapun, mengikut peruntukan Seksyen 15B(1) (selepas pindaan dan dikira secara retrospektif), pencen hakim bersara diselaraskan setiap tahun dengan kenaikan dua peratus dan tidak lagi mengambil kira kenaikan gaji yang diterima oleh hakim yang masih berkhidmat," menurut plaintif dalam saman itu.

Plaintif berkata keadaan itu menyebabkan mana-mana hakim yang dilantik sebelum 1 Jan 2014 akan menerima pencen lebih rendah daripada sepatutnya.

Menurut mereka, Perkara 125(7) yang dibaca bersama Perkara 125(9) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa hak pencen seseorang hakim dilarang atau secara mandatori dihalang daripada diubah sehingga merugikan beliau selepas pelantikannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS