mk-logo
Berita
Umno gesa segerakan akta antilompat parti lepas Zuraida keluar Bersatu
Diterbitkan:  May 26, 2022 2:36 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Umno menuntut undang-undang antilompat parti disegerakan, susulan langkah terbaru Zuraida Kamaruddin yang bertukar parti daripada Bersatu kepada Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Presidennya Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan itu seolah-olah sangat mudah kepada wakil rakyat di negara ini untuk bertukar parti mengikut selera dan cita rasa sendiri.

"Apabila Zuraida yang pernah keluar dari PKR kemudian menyertai Bersatu dan kini keluar pula untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) ia memberikan seolah-olah sangat mudah kepada wakil rakyat di negara ini untuk bertukar parti mengikut selera dan cita rasa sendiri.

"Tindakan lompat demi lompat sudah pasti mengecewakan rakyat dan menunjukkan tiada kawalan terhadap wakil rakyat dan bebas buat apa-apa sahaja.

"Tindakan ini sebenarnya menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap wakil rakyat dan parti politik semakin terhakis. Ia seolah-olah mempermainkan undi rakyat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengumumkan keluar Bersatu dan menyertai PBM, namun dia akan tetap menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Zuraida sebelum ini merupakan naib presiden PKR dan menyertai Bersatu selepas Langkah Sheraton.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata tidak mustahil tanpa pindaan undang-undang disegerakan krisis kepercayaan terhadap sistem demokrasi dan institusi politik akan menyebabkan kadar peratusan mengundi akan semakin rendah pada pilihan raya umum akan datang.

"Perdana menteri perlu melihat perkara ini serius dan tidak lagi berkompromi kepada mana-mana melompat kemudian kekal jawatan menteri kabinet.

"Ia sebahagian tanda sokongan terhadap ketegasan menangani isu lompat parti kalangan wakil rakyat menjelang pelaksanaan undang-undang lompat.

"Ramai lagi ahli parlimen yang setia terhadap parti dan tidak melompat parti wajar dipertimbangkan untuk mengisi jawatan menteri yang dipegang Zuraida," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS