Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya akan jumpa PM untuk bincang peletakan jawatan sebagai menteri '

ULASAN l Saya telah berkecimpung dalam politik selama dua puluh empat tahun, termasuk 14 tahun terakhir sebagai Ahli Parlimen Ampang. Sepanjang penglibatan dalam politik, saya amat bersyukur kerana dapat menyumbang kepada kebajikan rakyat, khususnya pengundi di Ampang dan di kedua-dua kementerian yang saya telah diberikan amanah untuk berkhidmat.

Beberapa bulan kebelakangan ini saya mula berfikir tentang politik negara dan hala tuju masa depan politik saya. Saya telah mendapat maklumbalas dari penyokong rapat saya, pengundi di Ampang, rakan sekerja dalam Kerajaan, wakil-wakil dari pertubuhan masyarakat sivil serta kumpulan dari sektor perniagaan dan korporat.

Setelah membuat pertimbangan yang mendalam, saya telah memutuskan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Saya mempercayai dengan perjuangan parti ini dan amat tertarik dengan enam prinsip terasnya iaitu keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Saya melihat banyak potensi dalam PBM, terutamanya pada masa rakyat Malaysia sudah bosan dengan politik lama, yang membantutkan kemajuan negara. Insya Allah, penyertaan serta pengalaman saya ke PBM nanti akan dapat membantu mengangkat Parti ini ke peringkat yang lebih tinggi, terutamanya menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

Penyertaan saya ini juga akan mengisi kelompongan kepimpinan wanita dalam negara. Sejak penubuhannya, PBM dilihat semakin kuat dan kini mempunyai beberapa orang ahli parlimen dan Adun dalam barisannya.

Alhamdulillah, pendirian saya selaku qhli parlimen Ampang menyokong Kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, smail Sabri Yaakob (government of the day) adalah selari dengan pendirian PBM.

Insya-Allah saya akan berjumpa dengan perdana menteri, dalam masa terdekat untuk membincangkan perletakan jawatan saya sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi.

Saya juga akan berbincang tentang peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan perdana menteri.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin serta Ismail Sabri di atas kepercayaan mereka melantik saya sebagai menteri Kabinet.

Sepanjang saya berkhidmat di kedua-dua kementerian, saya telah berusaha memberikan yang terbaik dan membawa perubahan positif kepada rakyat dan kehidupan mereka. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan padu yang saya terima sepanjang perkhidmatan saya di kedua-dua Kementerian.

Saya kini berada di Turki memenuhi undangan memberikan ucapan pada majlis pembukaan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin.

Persidangan ini akan berlangsung selama tiga hari bermula pada 27hb Mei 2022, dan seterusnya saya akan ke Athens, Greece bagi memenuhi undangan Misi Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia bersama Majlis Kayu Kayan Malaysia (Malaysian Timber Council). Insya-Allah saya akan kembali ke tanah air pada 2 Jun ini.

Akhir kata, dengan rendah diri saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf di atas sebarang cacat cela dan kelemahan saya selama ini.

Saya mendoakan yang terbaik dan semoga lakaran baru perjalanan politik saya ini mendapat sokongan semua lapisan masyarakat demi negara yang tercinta ini. Sekian, terima kasih.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


ZURAIDA KAMARUDDIN adalah sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi serta ahli parlimen Ampang.

Artikel ini pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS