Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata dia akan tetap menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
"Setelah membuat pertimbangan yang mendalam, saya telah memutuskan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
"Saya mempercayai dengan perjuangan parti ini dan amat tertarik dengan enam prinsip terasnya, iaitu keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebah negara maju," katanya.
PBM dilancarkan pada 21 Dis tahun lepas dan diketuai oleh Ahli Parlimen Julau Larry Sng. Dengan penyertaan Zuraida dalam parti itu, PBM kini mempunyai tiga ahli parlimen dan dua ADUN.
Terdapat spekulasi mengenai Zuraida keluar Bersatu sejak akhir tahun lalu, bersama-sama dengan khabar angin mengenai kepimpinan parti yang tidak sehaluan dengannya.
Spekulasi ini semakin menjadi-jadi selepas sebilangan besar anggota Penggerak Komuniti Negara - sebuah NGO yang diketuai oleh sekutu terkenal Zuraida - secara rasmi menyertai PBM.
Undur dari kabinet?
Sementara itu, Zuraida berkata dia akan bertemu Ismail Sabri tidak lama lagi untuk membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri perusahaan, perladangan dan komoditi.
"Saya juga akan berbincang tentang peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan perdana menteri," katanya.
Untuk rekod, Zuraida yang juga bekas naib presiden PKR bertindak keluar parti bersama sekumpulan bekas pemimpin PKR termasuk Mohamed Azmin Ali ketika "langkah Sheraton" yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) tumbang.
Dia kemudiannya menyertai Bersatu yang dipimpin Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebelum memilih untuk menyertai PBM.
Mengulas lanjut, Zuraida turut merakamkan penghargaan kepada bekas perdana menteri Muhyiddin dan Dr Mahathir Mohamad kerana memberi kesempatan untuknya berada dalam kerajaan.
"Saya melihat banyak potensi dalam PBM, terutamanya pada masa rakyat Malaysia sudah bosan dengan politik lama, yang membantutkan negara.
"Penyertaan saya ini juga akan mengisi kelompongan kepimpinan wanita dalam negara. Sejak penubuhannya, PBM dilihat semakin kuat dan mempunyai beberapa orang ahli parlimen dan Adun dalam barisannya," katanya.