Empat ahli parti membuat aduan rasmi berhubung dakwaan bahawa seorang calon ketua cabang dan penyokongnya menyamar sebagai petugas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) di pemilihan PKR cabang Bangi.
Salah seorang calon ketua cabang di situ Romli Ishak–bekas setiausaha politik kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail–mengesahkan bantahan rasmi dihantar pada Rabu.
"Saya bersama tiga lagi calon ketua cabang membuat aduan rasmi kepada JPP,” katanya kepada Malaysiakini.
Romli berkata mereka memohon JPP mengambil tindakan tegas terhadap calon ketua cabang tersebut sama ada membatalkan pemilihan itu atau membatalkan pencalonan tertuduh.
Katanya, tindakan perlu diambil mengikut Peraturan dan Kod Tata Etika Pemilihan parti demi mempertahankan nama baik dan masa depan PKR.
"Semoga ketegasan parti dalam mengambil tindakan akan memberi pengajaran dan kita akan terus dihormati sebagai parti yang menjunjung Peraturan dan Kod Tata Etika Pemilihan Parti," katanya.
Pemilihan cabang Bangi diadakan pada 21 Mei di Dewan Seri Cempaka, MPKj, Saujana Impiana, Kajang.
Romli bertanding kali pertama bagi jawatan ketua cabang dalam pertarungan lima penjuru.
Malaysiakini telah menghubungi calon yang didakwa melakukan kesalahan itu serta JPP dan masih menunggu maklum balas mereka.
Dalam aduan itu, calon itu dan dua penyokongnya itu turut didakwa menekan tab dan membuat pengundian bagi pihak anggota PKR lain.
Calon ketua cabang itu didakwa tidak memakai tag calon yang disediakan oleh JPP dan mengedar cai (senarai calon terpilih) dalam dewan tempat mengundi.