Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Atasi isu stesen bas tular, Kelantan lancar KB Sentral bulan depan

Kelantan hari ini menjelaskan pembinaan Terminal Pengangkutan Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) yang dirancang kerajaan sebelum tergendala kerana tiada kesanggupan di pihak kontraktor.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri kini sudah mencapai persetujuan dengan sebuah syarikat dan majlis pelancaran atau pecah tanah bakal berlangsung bulan depan.

Mengulas mengenai kelewatan projek itu bermula, Mohd Amar berkata, pada ketika itu lokasi yang ditetapkan - iaitu di Tunjong - dilihat tidak memberi kelebihan kepada syarikat-syarikat yang mahu melabur.

Jelasnya, kawasan tersebut sebelum ini belum dibangunkan dengan fasiliti sampingan yang boleh menyokong kewujudan terminal bas tersebut.

"Perancangan dah lama tapi ketika itu tiada pihak berani kerana mereka lihat tiada sokongan (fasiliti) lain. Mereka anggap takkan terminal bas semata-mata di situ.

"Ketika itu kalau kita buat ia hanya wujud stesen bas saja, kawasan itu akan mati. Pihak syarikat mengambil kira pelbagai faktor," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Anggota dewan undangan negeri (Adun) Panchor itu berkata demikian ketika ditanya mengenai kritikan dan rungutan orang ramai susulan kesesakan di terminal bas sementara Lembah Sireh sempena cuti perayaan Aidilfitri, baru-baru ini.

Terdahulu, isu stesen bas sementara itu tular di media sosial khususnya di kalangan rakyat Kelantan yang turut membandingkan dengan kemudahan sama di negeri-negeri lain.

Mohd Amar berkata, lokasi yang dipilih sebagai KB Sentral masih sama namun pemaju berminat selepas kawasan tersebut dibangunkan dengan terminal Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menurutnya lokasi KB Sentral itu akan dibuat berhampiran dengan terminal ECRL sekali gus membolehkan pengguna akses kedua-dua kemudahan tersebut.

"Kini kita di peringkat perbincangan teknikal dan pelancaran Insya-Allah dalam masa sebulan lagi.

"Pelan juga sudah ada, cuma kita tidak tunjukkan lagi. Stesen bas yang ada ini cuma sementara, kita tumpang tanah orang dan tak boleh dinaik taraf sebagai bangunan kekal," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS