Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin tertinggi Umno 'terasa hati' dengan cara Noh di Selangor

Sumber dalaman Umno mendakwa tingkah laku Noh Omar di Selangor akhir-akhir ini kurang disenangi malah menyebabkan sesetengah pemimpin tertinggi parti itu berkecil hati.

Terbaru, kenyataan dibuat Noh mengenai kedudukan kerjasama Umno Selangor dengan PAS negeri itu melalui Muafakat Nasional (MN) menjelang pilihan raya umum (PRU) yang dijangka tidak lama lagi.

Beberapa sumber dalaman Umno yang dekat dengan kepemimpinan negeri dan pusat mendakwa, Noh sedang dipantau kerana tidak disenangi selepas mengadakan perbincangan dengan parti lain di luar BN.

Menurut sumber yang dekat dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Noh selaku pengerusi perhubungan Umno Selangor bertindak mengikut pertimbangan sendiri.

"Semua Noh buat ikut suka dia," katanya kepada Malaysiakini.

Sumber itu juga mendakwa semasa mesyuarat Biro Politik Umno, Noh menyatakan persetujuan untuk tidak menjalin hubungan kerjasama dengan PAS.

"Tapi di luar dia buat juga," dakwa sumber berkenaan.

Buka laluan di Sungai Burong

Pada 30 April lalu Noh secara terbuka berkata Umno harus bersekutu dengan PAS di Selangor kerana keadaan politik "unik" yang ada di negeri itu.

Satu lagi insiden yang menimbulkan persoalan mengenai keinginan Umno Selangor untuk bebas melaksanakan strategi berbanding pusat ialah apabila salah seorang orang kuat Noh secara terbuka menjemput Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk diletakkan sebagai calon di Sungai Besar.

Pelawaan dibuat Jamal Md Yunos yang juga Ketua Umno Sungai Besar itu ditafsirkan kepimpinan Umno pusat sebagai satu bentuk perbezaan pendapat dengan kepemimpinan parti.

Menurut laman web Dewan Negara, Tengku Zafrul tidak menyertai mana-mana parti politik tetapi dikatakan sehaluan dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Semalam pula Bernama melaporkan Noh sebagai berkata Umno Selangor menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti itu dan PAS untuk membuat keputusan terbaik berhubung kedudukan MN.

Gambar fail

Kata Noh berkata langkah itu dilihat sebagai tindakan terbaik kerana kedua-dua pihak mempunyai jawatankuasa kepimpinan masing-masing.

“Umno Selangor kalau boleh MN hidup seperti dahulu, itu amat dialu-alukan, bagaimanapun kita serah kepada kepimpinan kedua-dua parti untuk buat keputusan.

“Setiap parti ada jawatankuasa mereka, jadi kalau presiden kata ia (kerjasama MN) nyawa ikan bermakna masih hidup tetapi sama ada ia akan terus hidup atau sebaliknya, kita serah kepada kepimpinan,” katanya.

Presiden keluarkan watikah

Menurut sumber, Noh cenderung memberi laluan kepada PAS meletakkan calon mereka di beberapa kerusi dewan undangan negeri di Selangor termasuk di Sungai Burong yang kini diwakili Adun Umno-BN.

Untuk rekod kerusi terletak di bawak kawasan parlimen Tanjung Karang tersebut memang dikuasai Umno kecuali pada 1999 apabila dimenangi Hasan Ali yang mewakili PAS. Adun Sungai Burong ketika ini ialah Mohd Shamsudin Lias.

Noh merupakan ahli parlimen Tanjung Karang sejak 1995.

Menurut sumber Umno mereka tidak faham mengenai pendirian menteri pembangunan usahawan dan koperasi itu dan menganggap tingkah laku ahli parlimen terbabit sebagai "pelik sedikit" akhir-akhir ini.

"Sebab itu presiden Umno selalu terasa hati dengan Noh. Dia memang suka macam tu. Jamal tu 'budak' dia," katanya yang kini memegang jawatan penting dalam parti.

Bagaimanapun sumber itu mendakwa setakat ini tidak ada sebarang petanda menunjukkan parti akan mengambil tindakan ke atas Noh.

"Lagi pun watikah (untuk membolehkan seseorang menjadi calon pilihan raya) dikeluarkan presiden, bukan Noh," katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen daripada Noh dan Ahmad Zahid mengenai isu ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS