Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perhimpunan pesara tentera yang diumumkan pada awal bulan lalu bakal berjalan seperti yang dirancang pada 6 Jun ini.

Namun, jurucakap perhimpunan aman pesara tentera tersebut, Komander (B) Abdul Rahman Husain berkata setelah diperincikan dengan lebih mendalam hala tuju program itu, terdapat beberapa perubahan yang perlu dibuat.

“Kami perhatikan dari sudut undang-undang dan kami dapati istilah perhimpunan aman ini telah kerap kali disalah guna. Demi menjaga nama baik veteran, program ini ditukarkan ‘Reunion Veteran dan Sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong’.

“Sesuai dengan tema kami, keluhuran perlembagaan dan kesetiaan kepada Raja. Tentatif dalam program ini antaranya ialah berikrar taat setia kepada Agong sempena dengan Hari Keputeraan YDPA dan nyanyian lagu Negaraku.

“Tiada langsung niat hendak membuat kacau. Kalau ada juga berlaku kekacauan, itu bukan angkara pihak kami,” katanya.

Selain itu, program ‘Reunion Veteran’ ini bukan lagi anjuran persatuan pesara tentera tetapi akan disertai di atas dasar individu.

“Program ini tidak melibatkan mana-mana persatuan. Ia bukan lagi anjuran Suara Veteran. Juga tidak menggunakan duit persatuan. Semua sendiri-sendiri. Tidak disediakan apa-apa.

“Cuma nanti akan ada dinyatakan terma dan syarat-syarat apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat ketika hari perjumpaan nanti.

"Pihak penganjur juga sudah mendapatkan nasihat Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung perjalanan program ‘Reunion Veteran’ ini.

“Kami ada maklumkan kepada polis tentang perjumpaan ini. Polis sudah beritahu dari segi undang-undang dan keselamatan apa yang kami perlu buat. Pemantauan yang perlu dilakukan pada hari kejadian untuk elakkan sebarang ketegangan dan konflik.

“Tentang tempat, setakat ini belum ada lagi tempat yang ditetapkan. Ada banyak proses nak kena lalu dan kertas kerja yang perlu dibuat.

“Antara cadangan tempat yang sedang dipertimbangkan ialah Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dataran Merdeka dan Padang Merbok.

Suara orang bawahan

Abdul Rahman menekankan tujuan utama program ‘Reunion Veteran’ ini supaya rintihan orang bawahan dan isu kebajikan mereka dapat ditangani.

“Kami buat “Reunion Veteran’ ini pun sebab gesaan dari mereka yang di bawah. Mereka cuma ingin tuntut hak yang mereka sepatutnya dapat. Tidak lebih tidak kurang.

“Mereka sudah sangat terdesak dengan isu kos sara hidup yang membebankan. Jumpa dengan pegawai tinggi-tinggi semua berdiam diri sahaja. Mungkin dengan cara perjumpaan veteran ini boleh buka mata mereka yang di atas,” katanya.

Antara tuntutan yang dikemukakan ialah penyelarasan pencen bagi veteran yang bersara sebelum tahun 2004 dan 2013, pemberian pencen kepada veteran yang bersara awal dan diwujudkan lembaga pengampunan bagi pesara tentera yang diberhentikan di bawah mahkamah tentera.

“Dijangka seramai 5,000 veteran akan menyertai ‘Reunion Veteran’ ini termasuk balu-balu veteran yang sudah meninggal pun akan sertai, mereka mengharap pencen,” kata Abdul Rahman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS