Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Wartawan berdepan cabaran besar, perlu jadi serba boleh

Seiring peredaran zaman, landskap kewartawanan global turut melalui perubahan mengikut keperluan pembaca kini yang inginkan maklumat di hujung jari, pantas dan sahih.

Kemunculan media sosial yang menjadi tempat orang ramai menghabiskan kebanyakan masa mereka, juga memberi cabaran kepada profesion wartawan sebenar untuk bersaing bagi menyampaikan maklumat berfakta dan boleh dipercayai.

Apatah lagi di saat dunia kini sedang berhadapan dengan kepelbagaian krisis termasuk isu kesihatan, politik, kemelesetan ekonomi, peperangan, keselamatan makanan, perubahan iklim dan bencana alam.

Justeru pakar komunikasi berpendapat wartawan masa hadapan perlu bergerak seiring teknologi dan melengkapkan diri dengan mental serta fizikal yang kuat untuk menghadapi cabaran lebih besar yang di luar kotak fikiran, pada masa akan datang.

Pensyarah kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Datuk Dr Ismail Sualman berkata jika dahulu wartawan hanya berbekalkan pen dan buku, mereka kini perlu memastikan berita disampaikan bukan lagi sekadar teks, malah perlu diiringi visual untuk dihidangkan kepada pembaca.

“Tugas wartawan sudah berubah kerana arus pantas teknologi memerlukan wartawan menjadi berbilang tugas atau menggunakan pendekatan kewartawanan peranti iaitu mereka perlu membuat segala-galanya termasuk mengambil video, menyunting, menulis fakta dan menjadikannya berita yang menarik pembaca.

“Sekiranya wartawan tidak menggunakan pendekatan ini, mereka akan ketinggalan kerana masyarakat luar termasuk netizen sendiri boleh melakukan perkara yang sama, cuma mereka tidak mempunyai kredibiliti sehingga menyebabkan maklumat yang dikongsikan itu viral namun tidak mempunyai kesahihannya,” katanya kepada Bernama.

Ismail berkata disebabkan kuasa teknologi juga, media arus perdana terpaksa memasuki dunia media sosial dan memanfaatkan keupayaannya untuk mendekati lebih ramai pembaca sekali gus menyampai maklumat yang benar-benar sahih kepada orang ramai.

Beliau berkata keadaan kini juga memerlukan wartawan menukar cara kerja kepada yang lebih canggih dan melengkapkan diri dengan gajet terkini, iaitu paling asas sekalipun iaitu memiliki sebuah telefon pintar yang boleh berfungsi untuk merakam, merekod dan mencari fakta rujukan di Internet.

“Pendekatan dan budaya kerja kewartawanan dah berbeza, itu sebab mereka kena lasak, berdikari, cakna isu dan keadaan sekeliling serta tidak menjadi armchair reporter yang hanya menunggu berita sebaliknya dia mesti mencari maklumat, cari kebenaran di lapangan.

“Mereka yang ingin memasuki dunia media ini perlu bersiap sedia secara psikologi, fizikal dan spiritual supaya mereka ini betul-betul jadi wartawan yang memberi pembangunan serta perubahan kepada sesebuah negara kerana dia bertanggungjawab dengan apa yang dia tulis dan apa kemungkinan daripada hasil penulisan itu,” katanya.

Sementara itu Pensyarah Kanan, Teknologi Media, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia Dr Azahar Kasim berkata bagi mendepani masa depan, penuntut jurusan komunikasi dan media kini diterapkan dengan modul pembelajaran silang media.

Katanya penuntut jurusan itu juga tidak lagi mempunyai pengkhususan mata pelajaran seperti kewartawanan, penyiaran dan pengiklanan sebaliknya mempelajari setiap mata pelajaran sama rata untuk melahirkan wartawan yang berkebolehan selari kehendak industri.

“Melihat kecenderungan hari ini penuntut komunikasi dan media perlu menguasai tiga era iaitu media sosial yang sedang mendapat sambutan, media baharu yang menjadi keperluan kini serta media tradisional yang masih diikuti oleh sesetengah generasi.

“Kepentingan menguasai tiga era ini membantu mereka untuk memasuki pasaran kerja dengan lebih mudah kerana mereka boleh menggunakan teknologi untuk menyalurkan berita serta mengendalikan media sosial seperti Facebook dan Twitter untuk menarik pembaca,” katanya.

Selain itu, Azahar berkata penempatan pelajar di latihan industri turut berubah kini apabila industri media cetak tidak lagi menjadi pilihan utama disebabkan cabaran yang dialami syarikat akhbar akibat perubahan teknologi.

Sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 yang akan berlangsung di Melaka, Ahad ini, Azahar yang juga bekas wartawan di Harian Metro berharap wartawan mendapat imbuhan dan gaji yang setimpal dengan kelulusan mereka setanding kerjaya lain.

“Saya harap kerajaan mengiktiraf peranan wartawan ini dengan memberi imbuhan dan menjaga kebajikan mereka. Ramai yang tak mahu jadi wartawan kerana gaji tidak setimpal dengan kelulusan, beban kerja serta masa yang ditawarkan kepada industri,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS