Seorang mahasiswa perakaunan berusia 20 tahun di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah meninggal dunia di bilik hostelnya Sabtu lalu, disyaki akibat terkena renjatan elektrik.
S Vinosiny yang merupakan mahasiswa semester empat pulang ke kampus hanya seminggu sebelum tragedi itu berlaku.
Bapanya R Sivakumar, 65, mengesahkan kematian anaknya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
"Sebelum ini dia belajar secara dalam talian kerana pandemik. Saya hantar dia pulang ke kampus pada 14 Mei lalu dan kini dia meninggalkan kami buat selama-lamanya," katanya.
Sivakumar mendakwa ketika pihak pengurusan UUM menghubunginya pada pukul tiga petang Sabtu lalu, dia hanya diberitahu yang akannya jatuh dan tidak sedarkan diri.
"Mereka maklumkan secara tidak jelas dan tidak beritahu saya apa yang sebenarnya terjadi. Selepas saya tanya sama ada masih ada petunjuk yang anak saya masih hidup aau tidak, baru mereka beritahu dia telah meninggal dunia.
"Bilik hostelnya kini ditutup. Saya tak dapat periksa keadaan di sana. Telefonnya juga masih dalam bilik itu yang berkunci. Polis hanya beri dompet dan kad pengenalannya kepada saya," katanya lagi.
Acara pengebumian mendiang diadakan di Klang pagi semalam.
Sivakumar berkata dia akan berjuang untuk mendapatkan kebenaran berkaitan kematian anaknya memandangkan tiada penerangan yang jelas diberikan oleh pengurusan universiti dan polis.
Dia memaklumkan terdapat kesan terbakar yang jelas di muka dan tangan kanan anaknya, serta dua jarinya berwarna ungu kehitaman ketika doktor menunjukkan mayat mendiang kepadanya di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar.
'Saya hanya mahukan kebenaran'
Sivakumar berkata doktor yang melakukan bedah siasat turut memaklumkan punca kematian adalah renjatan elektrik.
"Saya beritahu mereka (pengurusan UUM) yang saya hanya nak tahu perkara sebenar. Saya nak tahu bagaimana anak perempuan saya mati, itu saja. Mereka cuma minta saya tunggu siasatan lanjut. Sedangkan doktor sendiri sudah beritahu saya punca kematian.
"Saya cukup kesal dengan pihak universiti yang tidak menyatakan dengan jelas ketika mereka maklumkan perkara ini kepada saya. Tragedi sudah terjadi, saya hanya inginkan kebenaran. Saya nak tahu punca (renjatan elektrik). Saya tak mahu sesuatu yang tak betul terjadi.
"Saya tak mahu perkara sama menimpa pelajar lain. Saya pasti ada sesuatu yang tak kena dengan kemudahan di universiti, tapi adakah pihak universiti akan mengaku?
"Saya akan berjuang untuk kebenaran. Kami perlu tahu perkara sebenar," katanya lagi.
Sementara itu, UUM dalam kenyataan pagi ini menyuarakan rasa dukacita terhadap apa yang telah berlaku.
Namun UUM berkata punca kematian masih belum dikenal pasti dan pihaknya masih menunggu laporan penuh bedah siasat dari hospital.
UUM juga berkata pihaknya akan memberikan bantuan yang sesuai bagi mengurangkan beban keluarga.
Malaysiakini telah menghubungi UUM untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Sementara itu, Berita Harian memetik Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan yang mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kematian Vinosiny dan kes itu setakat ini masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Rodzi berkata, siasatan awal mendapati mendiang mengalami serangan sawan namun polis masih menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat berhubung kematiannya.
Insiden ini didedahkan oleh persatuan pelajar Student Progressive Front UUM (SPF UUM).
Dalam kenyataan semalam, SPF UUM turut menggesa pihak universiti untuk mendedahkan perincian berkenaan insiden tersebut bagi mengelakkan spekulasi dalam kalangan mahasiswa.
Sementara itu, pada 15 Mei lalu, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) turut mendedahkan kebakaran berlaku di satu bangunan kolej kediaman UM selepas pengurusan didakwa gagal mengambil tindakan terhadap laporan kerosakan kipas.
Kesatuan itu turut mengecam pengurusan universiti yang menurutnya mengabaikan kebajikan dan keselamatan mahasiswa dan ada pihak yang perlu dipertanggungjawabkan atas apa yang berlaku.