Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) wajib segera mengambil langkah intensif menyelesaikan kenaikan harga barang ketika ini.

Isu yang telah berlarutan sejak sekian lama ini nampaknya tidak pernah diputuskan sebaliknya terus menimpakan beban kepada rakyat selaku pengguna hampir setiap bulan.

Sepertinya ada 'lembaga dan hantu-hantu raya' yang sukar diusir dan dihapuskan; atau sebenarnya mereka 'dibela'?

Keluhan rasa kecewa rakyat nampaknya sedang menjadi 'api dalam sekam' tatkala pihak berwajib pula asyik menyatakan penafian yang dilihat boleh menyebabkan klimaks pertembungan antara rakyat dan kerajaan.

Walaupun jauh untuk tercetus krisis seperti di Sri Lanka, namun kerajaan tidak boleh membiarkan isu ini terus berulang.

Lebih-lebih lagi rantaian kesan kenaikan harga barang ketika ini meliputi keperluan bahan mentah dapur, makanan, perkhidmatan dan input kepada produk proses berasaskan keperluan harian. Akhirnya, ia menimbulkan rasa 'tidak guna' segala inisiatif pakej rangsangan ekonomi, bantuan khas dan skim yang telah diberikan.

Juga menyebabkan kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan penetapan gaji minimum RM1,500 seperti tidak meredakan kekurangan atau memberi nilai tambah. Sebaliknya segala pemberian itu ditanggapi untuk dibelanjakan bagi mengkayakan pihak-pihak berkepentingan atau 'rakan subahat' lain.

Campur tangan kabinet secara kolektif dan tegas dalam memberi penyelesaian komprehensif masalah ini mesti diumumkan kepada rakyat dalam masa terdekat. Kerana amarah tersembunyi ketika ini sedang bergelumang dengan kebimbangan kekurangan bahan-bahan mentah keperluan harian.

Warga rakyat yang bermaklumat dan kritis menilai betapa isu sekuriti makanan sedang menjadi perbahasan dunia mutakhir ini amat berisiko lebih cepat berlaku di negara ini. Untuk itu, kerisauan ini mesti ditenangkan dengan penjelasan sewajarnya serta dijamin dengan tindakan-tindakan yang meyakinkan.

Agensi-agensi penguat kuasaan perlu lebih berani untuk memerangi semua jerung, kartel, sindiket dan dalang punca kepada masalah ini. Sebarang ugutan atau ancaman mesti segera dilaporkan ke penguat kuasa keselamatan bagi membentuk perlindungan hingga masalah ini dapat di atasi.


SENATOR IR KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN berkhidmat sebagai letua penerangan PAS.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS