Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan: Polis tahan Datuk disyaki tanam 100 pokok ganja di rumah
Diterbitkan:  May 24, 2022 10:25 AM
Dikemaskini: 7:58 AM

Polis dilaporkan telah menahan seorang warga emas berpangkat 'datuk' selepas disyaki menanam hampir 100 batang pokok ganja di sekeliling kediamannya.

Menurut laporan Harian Metro hari ini yang memetik sumber, lelaki itu yang merupakan bekas diplomat itu di kediamannya di Janda Baik, Pahang kelmarin dan kini direman sehingga 28 Mei ini.

"Difahamkan polis bertindak menahan lelaki warga emas terbabit sebelum menemui deretan beberapa batas tanah yang dipercayai digunakan untuk menanam pokok ganja.

"Turut ditemui deretan pokok ganja yang di tanam di sekeliling kediaman itu. Pemeriksaan lanjut polis menemui bekas berisi cecair dipercayai minyak ganja selain daun ganja yang sudah dikeringkan," kata sumber itu seperti dipetik.

Serbuan dilakukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sekitar jam 6 petang kelmarin, katanya.

Katanya, penahanan dibuat menerusi operasi Ops Tapis hasil usaha pihak Balai Polis Bukit Tinggi dan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong.

Sumber itu berkata lagi, siasatan masih dibuat berhubung bagaimana suspek mendapat benih ganja dan tujuan ia ditanam dengan jumlah yang banyak.

Ia merupakan rampasan pokok ganja terbesar di dalam sejarah narkotik negara memandangkan sebelum ini kebanyakan kes hanya melibatkan pokok yang ditanam di dalam pasu.

Suspek yang pernah berkhidmat di kedutaan Malaysia di Asia Tenggara dan Timur Tengah akan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6B dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, menurut laporan itu lagi.

Sementara itu, Bernama melaporkan polis menahan seorang bekas diplomat bergelar Datuk dan anak lelakinya yang dipercayai terlibat menanam 102 pokok disyaki ganja di sebuah rumah di Kampung Sum Sum, Janda Baik, Bukit Tinggi.

Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf berkata lelaki berusia 78 tahun itu ditahan di rumahnya di Janda Baik, di Bentong pukul 6.10 petang pada Sabtu lepas manakala anak lelakinya berusia 53 tahun ditahan di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor pada 5.30 petang semalam.

Beliau berkata ketika serbuan dilakukan di kawasan kediaman berkeluasan kira-kira lapan ekar di Janda Baik itu, polis menemukan 102 pokok disyaki ganja, ada antaranya yang ditanam di belakang garaj kenderaaan, dan menurutnya ia boleh dikatakan sebagai rampasan ganja terbesar dalam negara setakat ini..

Semasa serbuan itu juga polis menemukan sejumlah tumbuhan kering disyaki ganja, dua botol kaca disyaki minyak ganja, minyak kelapa dan sebatang buluh yang diubah suai dipercayai digunakan bagi kegiatan penagihan dadah jenis ganja.

“Cecair disyaki ganja itu dijual pada harga RM250 sebotol kalau ikut nilai pasaran, dan ia dipercayai diproses di rumah itu untuk dijual kepada kenalan mereka.

“Nilai rampasan 102 pokok ganja berkenaan adalah kira-kira RM61,200, dengan setiap pokok dianggar bernilai RM600,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, hari ini.

Ramli berkata semasa soal siasat salah seorang suspek mendedahkan aktiviti penggunaan beberapa titik cecair disyaki minyak ganja yang dicampur ke dalam minuman oleh pengguna, sejak tiga tahun lepas.

“Siasatan awal terhadap suspek kedua yang didapati positif dadah itu pula mendapati dia sudah terlibat dengan kegiatan penagihan sejak 2013 selain mula menanam bahan larangan pada 2015, dengan benihnya dipercayai diperolehi daripada ganja mampat,” katanya.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan lokasi rumah itu yang terpencil membuatkan kegiatan mereka sukar dikesan.

Katanya bekas diplomat itu kini direman tujuh hari manakala permohonan reman terhadap anaknya akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 6B ADB 1952.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS