Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
HFMD: Belum ada keperluan tutup taska, tadika di Pahang
Diterbitkan:  May 23, 2022 12:00 PM
Dikemaskini: 4:23 AM

Penilaian risiko Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang terhadap peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) mendapati belum ada keperluan untuk menutup taska, tadika dan kelas prasekolah di negeri itu.

Walaupun jumlah kes direkodkan sejak Januari 18 Mei lalu mendapati berlaku lonjakan kira-kira 200 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu, namun masih terkawal.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Norolazali Sulaiman berkata, kebanyakan kes HFMD dikesan di negeri itu bersifat sporadik dan jumlah penularan kes di taska dan tadika masih rendah.

"Daripada 1,764 kes dilaporkan, hanya 8.3 peratus membabitkan kes di taska atau pusat asuhan kanak-kanak.

"Selebihnya atau 91.7 peratus adalah penularan secara sporadik, jadi atas penilaian risiko ini, JKN Pahang dan kita (kerajaan Pahang) memutuskan belum ada keperluan untuk menutup taska atau tadika atau kelas pra sekolah," katanya dalam sidang media di Bera, semalam.

Norolazali Sulaiman

Dia bagaimanapun menjelaskan tindakan penutupan taska akan dibuat jika penilaian risiko oleh JKN Pahang mendapati jumlah penularan kes HFMD di negeri ini bertambah serius.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 12 pusat jagaan kanak-kanak di Melaka sudah ditutup selepas mencatatkan 1,378 kes HFMD sehingga 14 Mei lalu.

Arahan penutupan itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana berlaku wabak HFMD di premis berkenaan.

Norolazali menasihatkan ibu bapa untuk terus memantau tahap kesihatan anak mereka dan segera mendapatkan rawatan di klinik berhampiran jika dikesan mempunyai gejala penyakit itu.

"Benda paling utama ialah jaga kebersihan diri, kerap basuh tangan dan kalau anak demam atau kurang sihat, jangan bawa ke tempat yang sesak dan ramai orang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS