Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pelancaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Sabah yang dijadualkan esok ditangguhkan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian, kata presidennya Mukhriz Mahathir.

Menurut Mukhriz penangguhan terpaksa dibuat kerana pengerusinya Dr Mahathir Mohamad tidak dapat hadir disebabkan sedang menghadiri mesyuarat di Tokyo, Jepun.

"Sambutan daripada rakyat Sabah ketika ini sangat menggalakkan dan dijangka dengan pelancarannya akan meningkatkan lagi sokongan kepada Pejuang.

"Kami mempunyai ahli di semua kawasan dan telah menubuhkan 17 jawatankuasa dari 25 kawasan Parlimen di Sabah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemukiman Pejuang Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Ditanya mengenai persediaan Pejuang menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 Mukhriz berkata pihaknya setakat ini belum membuat sebarang keputusan berhubung kerusi yang akan ditandingi nanti.

Mengenai kerjasama dengan parti tempatan di Sabah, menurut Mukhriz Pejuang terbuka untuk berbincang serta menjalinkan kerjasama kepada semua parti asalkan parti berkenaan mempunyai prinsip yang sama dengan parti itu, namun Pejuang belum mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti.

Sementara itu, Mukhriz berkata slogan Sabah For Sabahan yang sering dilaungkan parti tempatan sebelum ini tidak menghalang kemasukan Pejuang ke Sabah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS