Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mansuh AP: Kepentingan pengusaha makanan, pertanian kena dijaga

Majlis Pemulihan Negara (MPN) memohon kerajaan menjaga kepentingan para pengusaha sektor makanan dan pertanian negara agar pemansuhan keperluan permit import (AP) terhadap bahan makanan tidak membawa kesan negatif kepada golongan terbabit.

Pengerusi MPN Muhyiddin Yassin berkata walaupun hal itu sudah diputuskan, untuk tempoh awal ini sewajarnya mesti ada cara bagi kerajaan memberikan perhatian untuk membantu pengusaha tempatan supaya tidak terjejas dengan perubahan dasar.

"Saya menyokong pemansuhan AP terhadap makanan ini namun dalam keadaan ia memberikan keuntungan kepada pengguna, kita tidak mahu para pengusaha pula yang akan rugi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri anjuran Gerakan Pulau Pinang di Bukit Mertajam hari ini.

Jelasnya, tujuan asal AP ini ialah untuk melindungi pengeluar tempatan iaitu pengimport dibenarkan dengan kuota tertentu supaya tidak beri kesan negatif kepada pengusaha tempatan.

Rabu lepas, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata kerajaan bersetuju untuk tidak mengenakan AP bagi mengimport sebarang bahan makanan berkuat kuasa serta-merta.

Ismail Sabri berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan beliau bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS