Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan teliti penutupan taska, tadika elak HFMD menular

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti keperluan menutup taska dan tadika bagi mencegah penularan jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang semakin membimbangkan.

Timbalan menterinya, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata pihaknya sedang meneliti dan memandang serius perkara berkenaan memandangkan ia membabitkan isu keselamatan serta kesihatan kanak-kanak.

Katanya, kementerian itu juga akan merujuk perkara berkenaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan laporan statistik kes HFMD.

“Daripada pelaporan statistik yang diperolehi itu nanti KPWKM akan adakan perbincangan di peringkat kementerian untuk mengambil langkah seterusnya. Sekiranya situasi itu berbahaya ia memerlukan tindakan segera,” katanya.

Siti Zailah berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan hari raya dan penyampaian zakat kepada 20 pengayuh beca di Dewan WAWA di Kota Bharu hari ini. Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Said Sidup.

Semalam, media melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengarahkan premis berkaitan kanak-kanak seperti taska, tadika dan pusat jagaan yang merekodkan lebih daripada empat kes jangkitan HFMD ditutup selama 10 hari selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata KPWKM juga berharap semua pihak terbabit memantau sekiranya terdapat kes HFMD di mana-mana institusi.

Katanya, kerajaan sering mengingatkan pengendali taska dan tadika untuk sentiasa menjaga kebersihan premis mereka bagi menjamin kesihatan kanak-kanak.

Sementara itu, Said berkata setakat ini tiada taska dan tadika di Kelantan dilaporkan ditutup susulan penyakit berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS