Pemilihan PKR Hulu Selangor yang dijadual diadakan hari ini dibatalkan kerana tiada kemudahan mengundi dan logistik disediakan di pusat mengundi.
Ahli parti yang hadir membuang undi di Bukit Beruntung Golf & Country Resort seawal 7.30 pagi hari ini mendapati mereka tiba di premis kosong.
Kemudahan asas, termasuk meja dan kerusi hanya tiba pada 9.15 pagi, 15 minit selepas pengundian bermula.
PKR Hulu Selangor menyaksikan Ahli Parlimen Hulu Selangor June Leow mempertahankan kerusi ketua bahagiannya dalam pertarungan tiga penjuru.
Hulu Selangor adalah salah satu daripada 22 bahagian di Selangor yang mengadakan pemilihan hari ini.
Mengikut garis panduan pemilihan parti, logistik perlu disediakan oleh jawatankuasa bahagian penyandang yang diketuai Leow, lapor Malaysia Gazette.
Logistik dan kemudahan mengundi perlu disediakan pada malam sebelum hari pengundian.
Jurucakap jawatankuasa pemilihan parti (JPP) dan penyelaras PKR Selangor Mazli Saring berkata keputusan untuk membatalkan pengundian di bahagian Hulu Selangor dibuat atas alasan tiada kemudahan lengkap disediakan mengikut peraturan parti.
"JPP tidak menyediakan kemudahan ini. Kedua, tiada komunikasi seperti yang didakwa oleh June (Leow). Saya tidak ada apa-apa lagi untuk diperkatakan dan saya tidak mahu menuding jari. Kita akan biarkan JPP yang membuat keputusan," katanya.
"Sepatutnya 'penjaga' Hulu Selangor uruskan kemudahan itu. Tetapi hampir dua jam mereka tidak dapat menyediakan kemudahan itu dan jawatankuasa pilihan raya memutuskan untuk membatalkan pengundian hari ini," katanya.
“Tindakan lanjut akan dilaporkan tidak lama lagi dan JPP akan mengeluarkan (notis) pembatalan tidak lama lagi,” katanya.
Mazli menafikan JPP terlepas pandang perkara itu dan gagal melaksanakan tanggungjawabnya seperti yang didakwa Leow, yang merupakan ketua bahagian selama dua penggal.
"Jangan salahkan JPP. Saya ada semua bukti dan fakta. Jadi, jangan cakap. Ini bukan masa untuk saling menuding jari kerana ini urusan parti," katanya.
Sementara itu, Leow mendakwa sebarang cadangan dan rancangannya tidak 'dilayan' oleh JPP sejak tiga minggu lalu.
Sumber yang enggan dikenali menyifatkan ini seolah-olah satu tindakan sabotaj kerana pengundi yang hadir awal adalah penyokong dua calon tertentu manakala penyokong yang bersekutu dengan kem lain diminta hadir 2.30 petang hari ini.
Malaysiakini telah menghubungi Leow dan Pengerusi JPP PKR Dr Zaliha Mustafa.
Selasa lalu, seorang ahli parti dari bahagian Hulu Selangor membuat laporan polis mendakwa ditawarkan rasuah untuk mengundi dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung.
Selain Selangor, PKR Perak juga akan mengadakan pemilihan mereka di semua 24 bahagian hari ini.