Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lantikan Tajuddin sebagai duta Indonesia tak patut jadi isu - Saifuddin

Pelantikan ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia tidak sepatutnya menjadi isu, kata Menteri Luar, Saifuddin Abdullah.

Saifuddin berkata kerajaan sudah menetapkan syarat bagi individu layak untuk dipilih dan dicalonkan sebagai ketua perwakilan Malaysia di luar negara.

"Lazimnya, majoriti mereka ini dilantik dalam kalangan pegawai-pegawai diplomatik yang sedia berkhidmat dalam kerajaan.

"Namun demikian, kerajaan juga merasakan ada keperluan untuk melantik mereka yang bukan daripada pegawai diplomatik dan mereka ini boleh jadi seorang ahli politik atau bekas ahli politik, bekas menteri, pegawai tentera dan bekas pegawai polis dan sebagainya," katanya.

Saifuddin berkata demikian kepada media ketika majlis rumah terbuka Aidilfitri bagi Parlimen dan Perikatan Nasional Indera Mahkota, di Kuantan, hari ini.

Saifuddin berkata, ketika pentadbiran BN sebelum ini lantikan ahli politik sebagai duta adalah perkara biasa.

"Ada beberapa ahli parlimen dan bekas Menteri, bekas IGP (Ketua Polis Negara) dilantik sebagai ketua perwakilan Malaysia di luar negara," katanya.

Bagaimanapun Saifuddin berkata amalan dihentikan sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pada tahun 2018.

"Kerajaan yang ada pada hari ini, memutuskan bahawa selain daripada pegawai yang dalam perkhidmatan diplomatik boleh dijuga dilantik dari luar, oleh demikian sekarang ini Yang Berhormat Pasir Salak dilantik sebagai Duta Ke Indonesia," katanya.

Dalam pada itu Saifuddin mengakui ada negara tidak menerima duta daripada kalangan ahli parlimen yang masih berkhidmat.

"Ada negara tidak menerima calon (Duta) dicadangkan kerana dia masih berkhidmat sebagai ahli Parlimen dan ini pernah berlaku apabila kita nak hantar calon (duta) ke sebuah negara di Eropah, mereka tidak terima kerana individu itu masih ahli Parlimen. Ada negara yang begitu.

"Ada negara seperti Indonesia dan negara lain yang sedia menerima ahli Parlimen yang sedang berkhidmat sebagai duta," katanya.

Saifuddin bagaimanapun memaklumkan, berdasarkan amalan biasa di Kementerian Luar, mereka tidak akan mengumumkan nama bakal duta dilantik.

"Kita tidak akan ceritakan apa-apa (berkaitan nama duta yang dipilih) sehingga dia menerima 'credentials' daripada Yang di-Pertuan Agong," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS