Kesesakan lalu-lintas kini lebih teruk berbanding sebelum pandemik, menurut data.
Perkara ini antaranya disebabkan pekerja sudah kembali ke pejabat dan persekolahan juga dijalankan secara bersemuka.
Menurut Indeks Trafik Tomtom, kesesakan semasa waktu puncak di sebelah pagi dan petang di Kuala Lumpur konsisten memburuk dalam tempoh tujuh hari terakhir, berbanding pada masa yang sama pada tahun 2019.
Pada jam lapan pagi tadi, jalan-jalan di Kuala Lumpur 74 peratus lebih sesak berbanding tahap kesesakan biasa.
Ini bermaksud, pemanduan 30 minit akan menjadi 52 minit, atau 22 minit lebih lama.
Tahap kesesakan pagi ni lebih teruk berbanding masa sama pada 2019, yang berada di tahap 57 peratus.
Indeks Trafik Tomtom merekodkan kesesakan lalu-lintas di 404 bandar di seluruh dunia menggunakan data daripada alat pemanduan arahnya, sistem in-dash dan aplikasi telefon pintarnya.
Data itu disiarkan kepada umum bagi membolehkan pengguna menelitinya pada masa nyata untuk setiap jam.