Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ugut-ugut tak jalan, kata Hisham kepada pesara tentera

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein menasihatkan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempunyai pandangan atau keinginan tertentu berhubung isu kebajikan supaya terus bersemuka dengan Kementerian Pertahanan (Mindef).

Dia juga mengingatkan bahawa tindakan berunsur ugutan tidak boleh diterima.

“Bagi saya sebagai menteri pertahanan yang penting ialah untuk mendekati dan melibatkan diri secara langsung dan mereka yang betul-betul ikhlas untuk membela kebajikan veteran dan tak ada perkara yang saya tak sanggup lakukan kalau sekiranya hujah itu dibawa kepasa saya secara bersemuka.

“Ugut-ugut ini semua tak jalan,” katanya ketika mengulas isu sekumpulan pesara ATM yang mahu mengadakan demonstrasi pada awal bulan depan.

“Jadi kalau ada mana-mana pihak yang ada cadangan, serta pandangan, ada keinginan datang kepada Mindef, cakap. (Kita) sentiasa terbuka,” katanya.

Dia berkata demikian ketika sidang media di majlis pelancaran blueprint perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan di Sateria Residensi Platinum South Valley di Sungai Besi, Kuala Lumpur hari ini.

Pada 11 Mei lalu, sekumpulan pesara yang menamakan kumpulan mereka sebagai Suara Veteran mendakwa ribuan veteran ATM dari seluruh negara dijadual hadir bagi mengemukakan ketidakpuasan hati mereka berhubung isu kebajikan mereka.

Mengulas lanjut, ahli parlimen Sembrong turut mengingatkan bahawa setiap tindakan perlu difikirkan kesannya.

“Jangan kita gembar-gemburkan sesuatu… tapi saya tak boleh sekat mereka kalau mereka nak buat apa dia nak buat, buat tetapi fikir baik-baik.

“Dah bincang dengan kita dulu ke, apa yang diinginkan supaya yang penting pembelaan kepada veteran, berapa ratus ribu (veteran) yang ada, sama ada mereka (yang mahu demo) mewakili veteran-veteran itu atau tidak,” katanya.

Tambahnya, Mindef akan meneruskan apa yang termampu, sambil merujuk mengenai pelancaran blueprint hari ini dan agenda lain seperti perumahan, kesihatan dan pendidikan melibatkan veteran tentera.

“Malah, dalam program hari ini juga 900 unit rumah dikhaskan kepada mereka bagi membela kebajikan mereka sekeluarga,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS