Pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman sebagai duta Malaysia ke Indonesia bukan langkah yang baik, menurut seorang bekas diplomat.
Bercakap kepada Malaysiakini, duta bersara yang enggan namanya didedahkan itu berkata jawatan penting itu harus diisi oleh seseorang yang berpengalaman dan mempunyai latihan yang luas.
"Memandangkan calon tersebut, saya berpendapat kurang sesuai untuk memegang jawatan yang penting iaitu duta Malaysia ke Indonesia," kata diplomat yang pernah berkhidmat sebagai duta Malaysia ke beberapa negara termasuk di rantau ini.
Malaysiakini menghubungi bekas duta itu untuk mendapatkan ulasan mengenai keputusan kerajaan melantik Tajuddin, yang merupakan ahli politik Umno, sebagai wakil Malaysia di Jakarta.
Pelantikan itu menarik perhatian ramai, dengan rata-rata mempersoalkan pilihan Putrajaya dan meminta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan keputusan itu.
Tajuddin telah mengesahkan pelantikannya kepada Malaysiakini, tetapi tidak menjawab permintaan untuk mengulas mengenai kritikan pelantikannya.
Bekas duta itu menambah bahawa lantikan politik seperti Tajuddin biasanya bukan kerana merit mereka tetapi sebagai ganjaran.
"Pendekatan seperti ini kurang baik kerana jawatan duta bukan toothless tiger tapi sangat mencabar dan memerlukan latihan dan pengalaman yang luas," katanya.
Tajuddin, 74, dianggap sebagai tokoh politik kontroversi.
Pada 2016, dia mencetuskan kemarahan ahli parlimen dengan kenyataannya di Dewan Rakyat apabila menggelar Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok sebagai "satu-satunya wanita yang mempunyai 'Kok'".
Tahun lepas, Tajuddin dipecat daripada jawatannya sebagai pengerusi Prasarana berikutan kenyataan yang dianggap tidak sensitif selepas perlanggaran LRT di Kuala Lumpur yang menyebabkan berpuluh penumpang cedera.