Penganalisis politik Kamarul Zaman Yusoff tampil menjelaskan pelantikannya sebagai pegawai khas kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Kamarul Zaman, dia telah menjadi pegawai khas sejak Disember tahun lalu tetapi tidak ingin menonjolkan diri.
"Saya sengaja tidak menghebahkannya, saya lebih suka bekerja dalam diam. Saya bukan seorang yang kejar publisiti, sebaliknya memilih untuk low profile dan bekerja di belakang tabir," katanya kepada Malaysiakini malam tadi.
Pelantikan itu mula diketahui selepas Pejabat Perdana Menteri merujuknya sebagai pegawai khas Ismail di media sosial untuk mempromosikan program Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu.
Bagaimanapun, tidak lama selepas Malaysiakini membuat pertanyaan berkenaan pelantikan itu, ciapan tersebut dipadamkan dan hantaran di Facebook pula telah disunting.
Kamarul Zaman berkata dia dicadangkan kepada Pejabat Perdana Menteri oleh Universiti Utara Malaysia (UUM), di mana dia bertugas sebagai pensyarah kanan.
Mengulas skop kerjanya, dia berkata ia tidak melibatkan politik mahupun soal dasar.
"Sebaliknya saya hanya membantu dalam soal harian selain membuat penyelidikan, yang tidak memerlukan saya untuk menonjolkan diri," katanya.
Namun, katanya lagi, dia telah diberi kepercayaan untuk menjadi pengarah kepada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang memerlukannya untuk mempromosikan acara itu.
Tidak jelas sama ada Kamarul Zaman masih berkhidmat sebagai pensyarah kanan di pusat kajian antarabangsa Universiti Utara Malaysia.
Sebelum ini pada 2020, dia pernah disenaraikan sebagai pegawai khas kepada menteri perladangan dan komoditi, Khairuddin Aman Razali.
Bagaimanapun, katanya ketika itu, dia tidak menerima tawaran itu dan mendakwa penyenaraian namanya itu adalah satu kesilapan.
Kamarul Zaman mungkin diingati kerana menjadi antara pengkritik paling lantang DAP, dan berdepan banyak kes dengan parti itu di mahkamah.
Mengulas perkara itu, dia berkata ia adalah isu peribadi dan tiada kaitan dengan tugasnya di Pejabat Perdana Menteri.
“Saya seorang professional, tiada pun apa-apa perkara yang kontroversi mengenai saya kerana masalah kes-kes saman fitnah antara saya dengan beberapa pemimpin pembangkang adalah isu peribadi lama saya yang tiada kaitan pun dengan tugas saya sekarang," katanya.