Seorang anggota PKR membuat laporan polis mendakwa menerima tawaran sogokan untuk mengundi calon tertentu dalam pemilihan PKR yang sedang berjalan.
M Soundararajan, 58, membuat laporan di Balai Polis Rasa, Hulu Selangor pada Selasa lalu.
Dia mendakwa seorang individu yang merupakan penyandang ahli jawatankuasa PKR Hulu Selangor hadir ke premis perniagaannya pada Isnin lalu untuk berkempen bagi pihak seorang calon ketua cabang PKR Hulu Selangor.
"Dia hadir ke kedai saya, meminta saya untuk memberitahu semua ahli PKR di bawah saya untuk mengundi calon ketua cabang yang disokong olehnya.
"Dia berjanji akan memberi RM50 kepada setiap ahli untuk mengundi calon itu. Dia juga berkata akan memberi saya RM1,000 jika sedia mengundi calon ketua cabang itu," katanya kepada Malaysiakini.
Dakwaan sama turut dinyatakan dalam laporan polisnya yang dilihat Malaysiakini.
Soundararajan berkata dia akan membuat laporan rasmi ke Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dalam masa terdekat.
Malaysiakini telah menghubungi pihak yang didakwa cuba membeli undi itu dan sedang menunggu maklum balasnya.
Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Arsad Kamaruddin mengesahkan menerima laporan polis berhubung dakwaan sogokan itu.
"Betul. Pihak polis ada terima laporan polis. Ini tindakan dalam parti dan SPRM," katanya.
Pemilihan PKR yang bermula pada 13 Mei akan berlangsung selama 10 hari sehingga 22 Mei bagi kepimpinan peringkat cabang.
Di peringkat Hulu Selangor, penyandang ketua cabang June June Leow Hsiad Hui yang juga ahli parlimen Hulu Selangor dicabar pengamal perubatan Dr Sathia Prakash Nadarajah dan ahli perniagaan Azizan Zakaria.