Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1MDB: Shafee sifatkan bekas pengerusi 1MDB 'merajuk' tak mahu jumpa Najib

Peguam yang mewakili Najib Razak bertikam lidah dengan bekas pengerusi 1MDB berhubung isu dia memilih untuk tidak bertemu bekas perdana menteri itu secara bersemuka pada 2009.

Suasana di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tegang hari ini apabila peguam bela Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan saksi pendakwaan ke-15 Mohd Bakke Salleh sebagai ‘merajuk’.

Semasa perbicaraan rasuah RM2.28 bilion 1MDB terhadap Najib, Shafee mula mengasak dalam pemeriksaan balasnya apabila Bakke mendakwa bekas menteri kewangan itu terlibat dalam pengurusan dana kekayaan negara Malaysia tanpa mengambil kira lembaga pengarahnya.

Saksi itu menyatakan dia curiga apabila pihak pengurusan mengabaikan arahan lembaga pengarah kerana mendapat arahan daripada ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) serta Najib.

Bakke sebelum ini memberi keterangan bahawa dia mengesyaki Najib terlibat dalam transaksi tidak wajar di 1MDB, dan dia tidak bertemu Najib ketika itu untuk mengemukakan kebimbangannya dengan apa yang berlaku di syarikat berkenaan. Bakke meletak jawatan pada Oktober 2009.

Saksi itu juga sebelum ini memberi keterangan bahawa dia mendapati adalah di luar kebiasaan apabila Najib tidak membalas mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirimnya kerana bimbang dengan aktiviti di luar kelaziman di 1MDB.

Antara urus niaga di luar kelaziman ini ialah pengalihan dana 1MDB bernilai AS$700 juta ke dalam akaun Good Star Limited, sebuah entiti yang didakwa dikawal oleh Jho Low. Pihak pendakwaan berhujah bahawa tindakan Jho Low berkaitan 1MDB dilakukan atas kuasa Najib.

Semasa prosiding di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah sekitar tengah hari tadi, Shafee mengasak Bakke mengapa dia mencurigai Najib dan bukannya ahli pengurusan.

Peguam pembelaan menyorot keterangan Bakke sendiri sebelum ini seolah-olah menunjukkan bahawa saksi itu lebih terkilan dengan pihak pengurusan yang tidak mengendahkan kebimbangan lembaga pengarah mengenai transaksi di luar kelaziman itu.

Shafee: Anda mempunyai sebab yang kuat untuk mencurigai pihak pengurusan, jenayah sebenar oleh pihak pengurusan. Apa yang anda lakukan dengannya? Dengan PM (Najib), anda merajuk. Anda tidak mahu berjumpa dengan PM.

Bakke: 'Merajuk' adalah perkataan yang salah, tetapi anda boleh mengatakan apa sahaja yang anda mahu.

Shafee: Sebagai pengerusi 1MDB yang bertanggungjawab, tidak kira siapa PM. Anda beritahu PM secara bersemuka apa yang berlaku dalam 1MDB. Jika anda tidak melakukannya (peluang untuk memaklumkan kepada Najib ketika itu), syarikat akan bermasalah. Awak sepatutnya beritahu dia.

Anda bergantung pada SMS yang mungkin atau mungkin tidak sampai kepadanya (Najib). Sebagai bekas pengerusi 1MDB, itu adalah tidak bertanggungjawab.

Bakke: Tiada komen.

Pada satu ketika semasa prosiding, saksi berkata bahawa Shafee nampaknya lebih mengenalinya berbanding dirinya sendiri.

Perbicaraan di hadapan Sequerah bersambung petang ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa kesalahan di 1MDB dilakukan oleh Jho Low dengan restu Najib.

Pasukan pembelaan mendakwa tertuduh tidak mengetahui tentang salah laku dan keseluruhan skim penyelewengan itu didalangi oleh Jho Low dan beberapa ahli pasukan pengurusan dana itu.

Selain bekas perdana menteri dan menteri kewangan, Najib juga pernah menjadi pengerusi lembaga penasihat 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS