Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Beri kuasa lebih pada peguam negara dalam isu ganja’

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta supaya Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi kuasa kepada Jabatan Peguam Negara untuk membuat pertimbangan yang lebih tinggi dalam isu penggunaan kanabis. 

“Malah, hakim-hakim juga perlu diberi lebih kuasa dan kelonggaran dalam menilai kes-kes berkaitan penggunaan kanabis untuk perubatan.

“Ini kerana kita perlu mengendalikan kes-kes ini dengan cermat supaya pesakit yang terpaksa menggunakan kanabis untuk tujuan perubatan diberikan kelonggaran yang sewajarnya dengan tujuan penggunaan mereka,” katanya.

Kenyataan tersebut hadir selepas solidaritinya terhadap Yasin Sulaiman, yang hadir  diri ke sebutan kes penyanyi tersebut di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini. 

Yasin Sulaiman

Penyanyi Mimpi Laila itu yang kini ditempatkan di penjara Sungai Buloh didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret atas dua pertuduhan menanam 17 pokok disyaki ganja dan mengedar dadah jenis sama.

Bagaimanapun, penyanyi berusia 46 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin. 

Menurut ahli parlimen Muar, hukuman gantung adalah hukuman yang terlampau berat untuk pesakit yang amat memerlukan rawatan alternatif seperti kanabis dan hem. 

“Tindakan para pesakit mencari perubatan alternatif ini tidak boleh sesekali disamakan dengan jenayah bunuh misalnya, apabila hukuman gantung dikenakan. 

“Saya akan mengikuti perkembangan kes saudara Yasin dari masa ke semasa. Malah saya akan terus berhubung rapat dengan keluarga beliau. 

“Kes mahkamah saudara Yasin ini sudah pasti akan menjadi satu rujukan untuk ahli-ahli parlimen seperti saya dalam usaha untuk mengkaji semula undang-undang berkaitan penggunaan kanabis dan hem untuk tujuan perubatan,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS