Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN tak halang parti komponen kerjasama dengan parti lain

Perikatan Nasional (PN) tidak menghalang mana-mana parti dalam komponennya untuk bekerjasama dengan parti lain, kata pengerusinya Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata partinya juga tiada halangan sekiranya PAS, yang merupakan sebahagian daripada PN, mahu terus memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) bersama Umno.

"Pada dasarnya kita tak nak halang mana-mana parti PN untuk mengambil sebarang langkah sebab berpegang kepada prinsip penyatuan ummah.

"Kita dulu pun cuba MN dulu tetapi ditolak walaupun tidak dijawab secara rasmi. Jadi ini usaha yang PAS hendak ambil. Sama ada itu akan berhasil, wallahua'lam," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara yang kelima bagi tahun 2022 di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa parti itu akan terus mempertahankan hubungan bersama Umno kerana berpendapat agenda penyatuan ummah yang menjadi tunjang utama MN lebih besar berbanding survival atau kelangsungan mana-mana parti politik tertentu.

Muhyiddin berkata dalam pertemuannya bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pada sambutan hari raya baru-baru ini, parti itu menyatakan tetap istiqamah dalam PN.

"Tapi apa PAS nak buat, apa usaha kita, tak apalah. Akhirnya kita akan duduk semeja, bincang apa yang terbaik untuk PN dan lebih penting apa yang baik untuk negara. Itu saya fikir kita perlu berikan perhatian," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS