Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kian Ming mengaku bincang kerjasama politik dengan Muhyiddin tahun lalu

WAWANCARA | Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming mengaku bahawa dia dan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua bertanggungjawab dalam memulakan usaha perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA), tahun lalu.

Malah, Ong dalam temu bual bersama Malaysiakini pada Rabu berkata dia dan Pua mempunyai alasan berhubung perjanjian antara DAP dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Muhyiddin Yassin pada ketika itu.

"Saya rasa saya dan Tony Pua mempunyai alasan sewaktu merundingkan CSA tersebut yang pada akhirnya menjurus kepada MOU (perjanjian persefahaman) antara PH dan perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob ditandatangani yang berupaya membawa perubahan struktur jangka panjang kepada landskap politik di Malaysia.

“Sebagai contoh peruntukan sama rata kepada ahli Parlimen tanpa mengira mereka kerajaan atau pembangkang. Kemudian beberapa perubahan kepada undang-undang dan perlembagaan yang kita lihat, perhatian yang lebih kepada Sabah dan Sarawak, dan sekarang ini jelas semua orang sedang memerhatikan pindaan perlembagaan undang-undang antilompat parti yang akan dicadangkan menjelang hujung bulan ini," kata Ong.

Katanya, dia berpendirian semua pihak mempunyai peranan untuk dimainkan dalam landskap politik.

Oleh demikian dia dan Pua gembira apabila dapat memainkan peranan dalam CSA yang sekali gus membawa kepada MOU transformasi dan kestabilan politik yang dimeterai kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

"Siapa tahu, MOU pertama itu akan terus memainkan peranan untuk mendesak MOU kedua ditandatangani juga," katanya.

Pada 13 September tahun lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi pihak kerajaan Persekutuan, menandatangani MOU tentang transformasi dan kestabilan politik dengan PH.

Melalui perjanjian itu kerajaan menjanjikan senarai panjang pembaharuan yang merangkumi reformasi parlimen, menurunkan had usia mengundi, meluluskan rang undang-undang antilompat parti, menghadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal, memberi fokus kepada Covid-19, memastikan kebebasan kehakiman dan memenuhi Perjanjian Malaysia 1963.

Pelaksanaan pembaharuan ini dipantau oleh jawatankuasa yang terdiri daripada 10 anggota yang bersifat bipartisan dan akan bermesyuarat dua minggu sekali.

Pua, Ong dan rakannya dalam DAP, Anthony Loke, antara arkitek utama perjanjian itu bagi pihak PH.

Ketiga-tiga mereka telah membuat perjanjian serupa yang ditawarkan oleh bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin pada 13 Ogos setelah kehilangan sokongan 15 ahli parlimen Umno yang diketuai oleh Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.

Namun, perjanjian itu ditolak oleh pimpinan tertinggi PH. Ini memaksa Muhyiddin mengundurkan diri dan membuka laluan buat Ismail menjadi perdana menteri pada 22 Ogos.

Ditanya adakah kerjasama dengan Muhyiddin masih sukar, dia mengeyakannya.

"Saya faham kenapa ia sangat sukar bagi sebahagian pemimpin parti saya untuk bekerjasama dengan Muhyiddin.

"Saya faham kerana penolakan daripada orang ramai amat dahsyat pada ketika itu, tapi pada masa sama jika anda tanya sebahagian pemimpin parti sekarang adalah lebih baik untuk kita menerima CSA Muhyiddin demi mengelakkan Umno-BN kembali berkuasa.

"Dan saya rasa kebanyakannya akan bersetuju. Saya juga bersetuju. Kita perlu terima tawaran Muhyiddin supaya kita boleh mengelakkan situasi ‘kluster mahkamah’ yang mempunyai kuasa yang amat besar sekarang," jelasnya.

Pendekatan strategik

Manakala mengulas kerjasama dengan parti-parti lain dalam usaha mengelak situasi seperti ‘Langkah Sheraton’ berulang, memandangkan undang-undang antilompat parti masih belum diluluskan, Ong berkata ia perlu diteliti satu per satu.

"Kita perlu teliti perkara yang ada satu per satu. Jika kita anggap CSA tersebut sebagai contoh jelas yang ia akan membawa kepada pembentukan kerajaan dengan Muhyiddin, maka ia satu kesimpulan yang salah kerana itu bukanlah perancangan asalnya pun.

"Apabila saya sebut tentang fleksibiliti untuk berbincang dengan pihak-pihak berbeza, bekerjasama dengan pihak berbeza, ia bukan bermaksud membentuk kerajaan dengan mereka. Itu bukan asas perbincangan," katanya.

Menurut Ong, dalam tempoh dua tahun lalu, terutama sekali selepas ‘Langkah Sheraton’, pemimpin PH mula akur bahawa mereka sebelum ini tidak berfikiran strategik.

"Jika kita tidak fleksibel dalam pendekatan kita, kita akan kena main dengan pihak satu lagi, iaitu pihak yang lebih licik dalam merancang dan bermain muslihat daripada kita.

"Jadi, kita lihat pihak Muhyiddin merancang dengan lebih baik berbanding kita apabila mereka berjaya menumbangkan kerajaan PH.

“Malah, Muhyiddin dan Ismail Sabri kemudiannya mencapai persetujuan untuk menghalang Presiden PKR, Anwar Ibrahim daripada dicalonkan sebagai perdana menteri atau mendapat undi atau sokongan paling banyak untuk menjadi perdana menteri," katanya.

Justeru, kata Ong jika mereka terus mengambil pendekatan dengan cara yang sama, sudah tentu mereka akan kalah habis-habisan dalam PRU akan datang.

"Ramai yang menuduh kami ingin bekerjasama dengan PAS jika kami bercakap tentang fleksibiliti tapi itu bukan perkara yang saya maksudkan.

"Saya cuma katakan, bersikap fleksibel dengan berbincang dengan mereka pada peringkat persekutuan atau negeri bagi mengelak pertembungan tiga penjuru bagi kerusi tertentu tetapi ia tidak bermakna menjadi rakan sekutu dengan mereka atau mempunyai tekad untuk membentuk kerajaan bersama mereka," katanya.

Tambah Ong ia sekadar memberikan pilihan jika ada lebih ruang untuk berbincang apabila PRU ke-15 semakin hampir.

"Jika kita punya pilihan yang terbuka, ia bermakna kita boleh mengelak situasi yang katakan jika kita tidak berbincang dengan PAS atau Bersatu, mereka tentunya merasakan adalah lebih baik buat mereka untuk berpakat dengan Umno. Ini ialah senario terburuk buat kita," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS