Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penulis blog pertikai polis carinya kerana 'menghasut'
Diterbitkan:  May 16, 2022 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Pengendali blog Steadyaku47, Hussein Abd Hamid mempertikai tindakan polis mengeluarkan notis untuk mencari maklumat mengenai dirinya.

Dalam catatan blog bertajuk "fightback", Hussein berkata dia tidak akan berdiam diri mengenai perkara itu.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) tahu saya berada di Melbourne dan jika mereka bagus, mereka tahu di mana di Melbourne, pinggir bandar apa, jalan apa, bangunan apa di jalan dan juga nombor unit di bangunan tempat saya tinggal.

"Mereka tahu saya adalah pemastautin tetap Australia dan sudah tiga dekad. Mereka tahu ada perjanjian ekstradisi antara Australia dan Malaysia tetapi ia hanya meliputi aktiviti jenayah, bukan hasutan.

"Dan apa yang mereka tuduh saya, adalah hasutan. Jadi kenapa keluarkan kenyataan akhbar itu?" katanya.

Jumaat lalu, polis mengeluarkan kenyataan akhbar dengan menyiarkan gambar dan nama penuh Hussein.

Menurut kenyataan itu, Hussein dikehendaki ekoran laporan polis yang dibuat terhadapnya berhubung artikel ditulisnya.

Artikel itu didakwa menghina kerabat diraja Pahang.

Dia disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut, membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Selain itu Hussein juga disiasat mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS