Calon timbalan presiden PKR Saifuddin Nasution berkata dia tidak akan campur tangan daalm sebarang keputusan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang diketuai Dr Zaliha Mustafa.
Dia berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan pencabarnya Rafizi Ramli yang mencadangkan agar pemilihan parti itu ditangguhkan sehingga masalah pengundian diselesaikan.
"Saya sebagai calon saya akan buat kerja saya. Sebagai calon saya tak akan masuk 'wilayah' Dr Zaliha dan JPP.
"Apa sahaja hal yang berkaitan dengan pemilihan elok kita berikan ruang dan kepercayaan kepada JPP.
"Saya yakin mereka tahu dan faham tugas yang diberi dan tanggungjawab kepada mereka," katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Perayaan Aidilfitri anjuran Kumpulan SP Care di Hulu Selangor, semalam.
Terdahulu, Saifuddin yang juga setiausaha agung PKR ditanya berhubung gesaan Rafizi yang meminta JPP untuk mempertimbangkan untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga sistem pengundian diuji sepenuhnya.
Rafizi dalam tulisan Facebook semalam berkata penangguhkan pengundian fizikal bagi mengelakkan pembatalan, penangguhan dan kekecohan yang menyusahkan anggota biasa.
"Setelah proses pengundian secara fizikal berlangsung untuk enam buah negeri (Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor, Wilayah Persekutuan dan Pahang), beberapa kelemahan ketara telah berlaku yang membawa risiko menjejaskan integriti keputusan pemilihan kali ini.
"Sementara saya cukup faham bahawa kelemahan-kelemahan ini berpunca dari keputusan pimpinan parti yang berkeras untuk menjalankan pemilihan sedangkan tempoh masa yang diberikan kepada JPP tidak mencukupi, tanggungjawab itu kini perlu digalas oleh JPP untuk menyelesaikan semua masalah-masalah ini.
"Saya memohon supaya JPP mempertimbangkan menangguhkan pengundian fizikal bagi negeri berbaki untuk memastikan semua sistem adalah hampir sempurna dan telah diuji sepenuhnya," kata Rafizi.
Naib Presiden PKR itu turut menghantar surat aduan ditujukan kepada Dr Zaliha dan salinannya kepada Presiden parti Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Saifuddin berkata penubuhan JPP dan lantikan Dr Zaliha sebagai pengerusi adalah keputusan bersama pucuk pimpinan parti.
"Jadi, berdasarkan kuasa penuh itulah dia menguruskan fasa pencalonan, fasa membangunkan sistem, kemudian fasa menguruskan pemilihan, sehingga nanti dia memuktamadkan proses itu.
"Mereka bukan bermula daripada kosong, mereka mengangkat syor-syor penambahbaikan pemilihan parti berdasarkan pemilihan-pemilihan yang lepas.
"Parti telah melantik Dr Lee Boon Chye mengetuai sebuah jawatankuasa bagaimana menambah baik perjalanan pemilihan, syor-syor itu diangkat kepada JPP dan JPP bebas menyusun menentukan vendor berbincang dengan vendor apakah kriteria-kriteria yang diperlukan oleh parti.
"Proses itu lengkap. Kalau ada pun perkara-perkara yang pada pandangan kita yang perlu penambahbaikan, maka kita salurkan kepada JPP," katanya.