Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi bangkitkan kelemahan pemilihan PKR, dakwa risiko penipuan
Diterbitkan:  May 15, 2022 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Calon timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli membangkitkan pelbagai kelemahan dalam sistem pemilihan parti termasuk isu ahli boleh mengundi berkali-kali bagi pihak orang lain.

Perkara itu dinyatakan dalam surat bantahan yang dihantar kepada pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa.

“Pengundi tidak diberikan slip (sama ada kod QR atau seumpamanya) yang boleh mengehadkan agar mereka mengundi sekali sahaja.

"Pengawas JPP hanya menyemak maklumat keanggotaan, selepas itu pengundi dibenarkan masuk tanpa pemantauan.

"Kelemahan sistem ini membuka kepada risiko penipuan apabila seorang pengundi boleh membawa satu senarai anggota dengan nombor kad pengenalan dan mengundi berkali-kali bagi pihak pengundi lain,” katanya dalam lampiran surat yang turut dihantar kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Rafizi berkata keadaan itu turut dirakamkan dalam satu video ketika pemilihan di Cabang Tanah Merah dan bukti berkenaan juga dihantar kepada JPP.

Ia katanya, antara masalah yang dilaporkan di kebanyakan pusat mengundi sejak Jumaat lalu.

Rafizi yang merupakan naib presiden PKR, berkata dia tidak mengambil bahagian dalam sebarang keputusan parti yang boleh mempengaruhi kempen pemilihan kerana menurutnya tidak adil kepada calon lain.

Justeru, katanya aduan rasmi kepada JPP adalah tindakan yang paling sesuai.

"Sementara saya cukup faham bahawa kelemahan-kelemahan ini berpunca dari[ada keputusan pimpinan parti yang berkeras untuk menjalankan pemilihan sedangkan tempoh masa yang diberikan kepada JPP tidak mencukupi, tanggungjawab itu kini perlu digalas oleh JPP untuk menyelesaikan semua masalah-masalah ini.

"Sebagai seorang usahawan tech yang memperkenalkan beberapa produk dan aplikasi teknologi di Malaysia dan rantau Asia Tenggara, saya faham bahawa masa yang diberikan kepada JPP (sekitar 2-3 bulan) adalah tidak mencukupi untuk membangunkan dan menguji aplikasi pengundian ADIL dengan sepenuhnya.

"Aplikasi undian fizikal dan atas talian ADIL sewajarnya diuji dengan jumlah pengguna yang jauh lebih besar berbanding keadaan sekarang yang mana sistem dipakai (deployed) tanpa diuji secara menyeluruh,” katanya.

Rafizi turut membangkitkan isu daftar keanggotaan yang bermasalah dan mempunyai banyak data yang bertindih atau tidak lengkap.

Pemilihan PKR berlangsung sejak Jumaat lalu membabitkan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor, Wilayah Persekutuan dan Pahang.

Pada kali ini pemlihan parti itu menggunakan sistem hibrid dengan menggabungkan pengundian secara dalam talian dan fizikal.

Hilang undi

Antara kaedah tersebut termasuk mengundi melalui aplikasi mudah alih, mengundi melalui laman sesawang, mengundi secara fizikal pada tablet yang disambungkan ke internet serta mengundi pada tablet yang datanya disimpan sementara pada peranti sebelum dimuat naik ke internet kemudiannya.

Rafizi berkata pelbagai kaedah pengundian yang diguanaka bermakna ia perlu dikira secara manual sekali gus membuka ruang kepada risiko penipuan dan manipulasi.

Dia juga membangkitkan isu dengan data yang disimpan di dalam tablet, yang didakwa boleh hilang dalam proses memuat naik ke internet.

“Dalam pemilihan yang lepas, ada 20,000+ undi sebegini yang hilang atas alasan data hilang semasa dimuat naik ke internet. Saya menjadi mangsa apabila sebahagian besar cabang-cabang yang mengundi saya (termasuk Pandan, Selayang, Pensiangan dan lain-lain) mengalami masalah ini sedangkan saya hanya kalah sekitar 3,000 undi sahaja (mengikut data akhir),” katanya.

Rafizi ketika bertanding jawatan timbalan presiden pada 2018, tewas kepada Azmin Ali dengan kira-kira 3,000 undi.

Rafizi berkata oleh kerana JPP tidak mengeluarkan sebarang slip yang mengesahkan kehadiran anggota, mereka tidak boleh membandingkan jumlah yang keluar mengundi dengan jumlah undi yang direkodkan oleh sistem.

"Saya juga menerima banyak laporan bahawa pengawas JPP datang dari negeri yang sama dan dipilih oleh orang-orang tertentu sahaja kerana tugas itu diserahkan kepada Pengerusi MPN.

"Di Kelantan contohnya, ramai pengawas adalah dari satu tempat yang dikaitkan dengan seorang calon yang turut bertanding di peringkat cabang. Ini berbeza dengan pemilihan-pemilihan lepas yang mana pengawas datang dari negeri dan kawasan berbeza untuk mengelakkan pengawas berat sebelah, seperti banyak dakwaan yang berlaku sekarang,” katanya.

Rafizi menggesa JPP PKR membawa perkara itu kepada Anwar selain meminta jawatankuasa itu menangguhkan pengundian di negeri-negeri selebihnya sementara menunggu penambahbaikan sistem bagi mengelakkan keputusan terbatal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS