Paling Popular
Terkini
story images
story images

Meskipun menyokong cadangan supaya Petronas menyelamatkan Sapura Energy, Umno juga bersetuju dengan cadangan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim agar audit forensik turut dilakukan ke atas syarikat itu.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai mengulas debat perdana antara bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim baru-baru ini.

"Seperti yang telah diutarakan dalam Debat Perdana antara dua tokoh politik empat hari yang lalu, syarikat yang pegangan ekuitinya disertai oleh PNB seperti Sapura Energy di mana terdapat lebih 10 juta pemegangan saham amanah, Amanah Saham Nasional (ASN) turut mempunyai kepentingan mesti bantu.

"Sebanyak lebih RM5 billion telah dilaburkan oleh PNB. Syarikat itu menggaji lebih sepuluh ribu tenaga kerja dan lebih tiga ribu vendor terlibat. Tanpa menggunakan dana langsung kerajaan, Petronas sesuai untuk mengambil alih dan melakukan ‘turn-around’ sesegera mungkin.

"Namun, kita bersetuju supaya pengauditan forensik wajib turut dilakukan agar ia lebih telus," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Umno Khas (EGM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa Umno melihat agenda Melayu dan Bumiputera terus diperkasakan.

"Ini termasuk memperkukuhkan agensi-agensi amanah Bumiputera. Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji, Felda, Mara dan Institusi pegangan ekuiti Bumiputera wajib menjadi agenda utama kerajaan tanpa tunduk dengan tekanan untuk agenda berkenaan dikesampingkan.

Najib dalam debat yang berlangsung di ibu negara pada 12 Mei laluu mencadangkan supaya Petronas menjadi penyelamat kepada Sapura Energy, manakala Anwar mahukan supaya audit forensik dilakukan terhadap syarikat itu.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, Umno dalam sejarah perjuangannya tidak pernah mencetuskan kekacauam serta menjerumuskan negara kepada ketidaktentuan.

"Suka saya tegaskan, Umno tidak mempunyai DNA atau baka untuk mencetuskan kekacauan, yang boleh menjerumuskan negara kepada keadaan tidak menentu.

"Umno punya catatan membangunkan negara. Umno bersejarahkan kemakmuran dan kestabilan. Umno berwajahkan keharmonian dan kesejahteraan.

"Justeru, soal kestabilan, keharmonian, kemakmuran serta kesejahteraan, adalah agenda yang tidak pernah luput, daripada kamus perjuangan Umno," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS