Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Satu sen duit rakyat tak diguna jika Petronas ambil alih Sapura
Diterbitkan:  May 13, 2022 8:47 AM
Dikemaskini: 12:51 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak mengulang cadangannya agar syarikat petroleum negara, Petronas mengambil alih Sapura Energy Bhd (SEB) yang dibelenggu hutang menerusi pengambilalihan.

Dia berkata langkah itu tidak akan melibatkan dana awam dan Petronas kemudian boleh meraih keuntungan dengan menjual semula SEB, sebaik saja syarikat itu pulih.

Antara lain, Najib berkata jika Petronas boleh mengambi alih SEB, ia dapat menjamin yang kontrak semasa syarikat itu - bernilai RM7 bilion - diteruskan, selain menjamin modal perniagaan untuknya.

“Bila syarikat sudah pulih, sahamnya naik, Petronas boleh jual (Sapura) di pasaran. Petronas akan untung,” katanya ketika debat dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim semalam.

Dia berkata langkah itu juga akan menguntungkan pelabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).

ASB adalah unit amanah yang dikeluarkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB), yang pada masa ini pemegang saham terbesar Sapura.

Najib bagaimanapun tidak menyebut jika langkah pengambilalihan itu akan mempengaruhi pegangan PNB dalam syarikat itu.

Alternatif kepada cadangan itu, katanya lagi, adalah untuk kerajaan menjamin pinjaman bank oleh SEB.

Dalam langkah ini, katanya lagi, Petronas juga boleh membantu dengan memberikan kontrak bernilai lebih tinggi kepada syarikat itu.

Dalam balasannya, Anwar menyangkal dakwaan Najib bahawa dana awam tidak akan digunakan dalam pengambilalihan oleh Petronas.

“Ia akan memakan kos berbilion. Petronas milik siapa? Rakyat,” katanya.

Sapura menanggung kerugian sejak 2019. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022, SEB mencatatkan kerugian RM8.9 bilion.

Tiga daripada anak syarikat SEB telah diberikan notis petisyen penggulungan pada Mac lalu.

Sebelum ini, Najib berkata jika SEB bangkrap, ia akan membawa kerugian RM4 bilion kepada PNB, yang kemudiannya akan menjejaskan orang ramai.

Anwar bagaimanapun berpendirian isu bail out syarikat itu hanya boleh dibincangkan selepas audit forensik dijalankan bagi melihat sama ada kewangan syarikat itu telah disalah urus atau tidak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS