Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penunggang motosikal maut dalam kemalangan babitkan 13 kenderaan
Diterbitkan:  May 12, 2022 5:26 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan 13 buah kenderaan termasuk sebuah treler yang mengalami masalah brek di Jalan Batu Kawan, Simpang Ampat di Nibong Tebal semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Lee Chong Chern berkata kemalangan pada kira-kira 6.20 petang itu mengakibatkan Tang Hai Kok, 46, yang menunggang motosikal Y110 meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di badan serta kepala.

"Berdasarkan siasatan, kemalangan berlaku selepas lori treler dipandu seorang lelaki yang mengalami masalah brek melanggar 12 kenderaan yang terdiri daripada lapan kereta, dua motosikal, sebuah pacuan empat roda dan sebuah van.

"Seorang lagi penunggang motosikal, wanita warga emas berusia 64 tahun, mengalami kecederaan pada kaki dan bahu kiri, dan semua kenderaan terlibat dalam kemalangan itu mengalami pelbagai kerosakan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya ujian saringan air kencing mendapati pemandu berumur 28 tahun yang ditahan untuk siasatan lanjut itu negatif dadah, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS