Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'K'jaan tiada perancangan ekonomi sebenar selain bagi keluar KWSP'
Diterbitkan:  May 12, 2022 5:13 PM
Dikemaskini: 9:13 AM

Pengerusi DAP Lim Guan Eng mengkritik kerajaan yang menurutnya tiada perancangan dasar ekonomi yang sebenar dalam menangani kekurangan buruh dan kenaikan harga.

Kritikan itu hadir selepas pengumuman yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) semalam untuk meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus dalam mesyuarat ketiga Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia tahun ini.

"Kerajaan perlu menawarkan bantuan kepada sektor-sektor utama ini dan segera mengatasi kekurangan buruh yang teruk serta menangani kesan kenaikan harga yang disebabkan oleh kekurangan bekalan serta kelemahan ringgit.

"Walaupun kerajaan enggan mendengar cadangan ekonomi yang dikemukakan oleh pembangkang, masih tiada perancangan dasar ekonomi yang sebenar selain membenarkan pengeluaran simpanan KWSP sehingga RM10,000, yang telah mengepam lebih RM40 bilion ke dalam ekonomi," katanya.

Tambah Lim, langkah jangka pendek itu mewujudkan faktor perasaan gembira yang bersifat ilusi dalam menangani keperluan kewangan mendesak orang ramai yang tidak mempunyai wang yang cukup untuk berbelanja dan menguruskan kenaikan harga makanan.

"Namun, apa kerajaan rancang untuk lakukan apabila RM10,000 habis diguna atau suntikan KWSP RM40 bilion sudah kering?" soalnya.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini sekali lagi mengumumkan kerajaan akan membenarkan pencarum mengeluarkan sehingga RM10,000 daripada simpanan KWSP.

Kebenaran itu merupakan kali keempat sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat berdasarkan penemuan dan penyelidikan secara keseluruhan mengenai fasa pemulihan berterusan pandemik Covid-19 kerana masih ada mereka yang terjejas dari segi kewangan dan cuba membina semula kehidupan mereka.

Sebelum itu, kerajaan telah membenarkan tiga lagi pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion membabitkan 7.34 juta pencarum ketika wabak Covid-19 melanda pada 2020.

Sementara itu, Lim berkata. dengan kenaikan OPR sebanyak dua peratus, inflasi dan kenaikan harga akan menjadi cabaran ekonomi yang lebih besar berbanding mengekalkan pemulihan ekonomi yang teguh.

"Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk 2022 mungkin dihalang oleh ringgit yang lemah dan masalah struktur yang berkaitan dengan kekurangan pekerja yang teruk dalam sektor utama ekonomi serta kekurangan reformasi institusi yang menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti," katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berkata impak kejatuhan semasa ringgit Malaysia datang secara tidak dijangka dengan kenaikan harga minyak global dan komoditi asas.

"Pada masa yang sama, pertumbuhan ekonomi agak tidak sekata dengan banyak sektor utama seperti pelancongan, hotel, hiburan dan rekreasi serta PKS masih bergelut untuk bertahan untuk mencapai tahap pada 2019.

"Bagi orang ramai, kenaikan harga tidak dapat dikurangkan dengan kenaikan gaji," katanya.

Susulan kenaikan OPR, kadar tertinggi dan terendah koridor OPR akan turut dinaikkan kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus, kata BNM dalam penyata dasar monetarinya semalam (11 Mei).

Sepanjang tempoh krisis Covid-19, OPR sebelum ini telah dikurangkan sebanyak 125 mata asas terkumpul kepada paras terendah pernah dicatatkan iaitu 1.75 peratus untuk memberikan sokongan kepada ekonomi


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS