Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri Najib Razak akan bersemuka dalam sesi debat yang ditunggu-tunggu ramai dan akan disiarkan secara langsung malam ini.
Debat itu dijadual berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di Kuala Lumpur bermula jam 9 malam.
Anwar yang juga presiden PKR, dan Najib (bekas presiden Umno) akan berdebat dalam dua topik iaitu keperluan kerajaan membantu syarikat minyak dan gas Sapura Energy Bhd yang berprestasi buruk, serta isu masa depan Malaysia dari segi ekonomi, politik dan hala tujunya.
Pertembungan dua watak penting politik Malaysia itu dianggap menarik kerana setakat ini Najib dan Anwar belum pernah terlibat dalam debat awam.
Dianjurkan oleh Sinar Harian, ia juga merupakan kali pertama Najib menerima cabaran debat terbuka sejak dia menjadi perdana menteri pada 2009.
Kali terakhir Najib dijemput untuk debat mengenai isu nasional ialah pada Ogos 2017 apabila Bersatu mencabarnya untuk berdepan pengerusi parti terbabit ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, dalam forum yang dipanggil Nothing to Hide 2.
Najib yang masih memegang jawatan perdana menteri ketika itu bagaimanapun tidak menyahut cabaran tersebut.
Acara itu bagaimanapun menyaksikan beberapa individu - dipercayai ejen provokator - melemparkan soalan konfrontasi kepada Mahathir sebelum mereka mula membaling selipar kepadanya.
Ia kemudian mencetuskan beberapa siri pergaduhan dan kekecohan.
Debat malam ini mulanya dirancang untuk berlangsung di Universiti Malaya dengan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya menawarkan diri untuk menganjurkan debat berkenaan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa universiti menolak rancangan itu.
Idea untuk mengadakan debat antara Anwar dan Najib tercetus berikutan cabaran yang dikemukakan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli kepada Najib bulan lepas.
Ia menyusul selepas kedua-duanya berbalas-balas kenyataan - melalui Facebook - berhubung isu Sapura dan isu-isu yang lain melibatkan dana kerajaan.
Najib kemudian berkata dia bersedia berdebat dengan Rafizi tetapi mahu Anwar turut serta, gesaan yang kemudiannya diterima oleh Rafizi.
Beberapa siri perbincangan membabitkan Najib dan pembantu Anwar dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk debat satu lawan satu.
Selain boleh didapati dalam talian, Najib juga menganjurkan siaran langsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.
Anwar pula menawarkan peluang kepada orang ramai untuk menyumbangkan soalan yang difikirkan patut diajukan kepada Najib dalam debat berkenaan.