Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Lima orang rentung apabila kereta dinaiki mereka terbakar selepas terlibat dalam kemalangan dengan dua treler membawa muatan besi dan muatan mozek di KM 246 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar tengah malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 12.52 tengah malam.

"Kami segera mengerahkan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dengan bantuan BBP Meru Raya, Kamunting dan Ipoh sebaik menerima panggilan," katanya dalam kenyataan di Ipoh hari ini.

Menurutnya, kereta jenis yang belum dikenal pasti dan treler jenis Volvo 20 tan membawa muatan besi dinaiki seorang lelaki mengalami kebakaran sebanyak 90 peratus, manakala sebuah lagi treler jenis sama membawa muatan mozek dinaiki dua lelaki tidak mengalami kebakaran.

Kata jurucakap itu lagi, lima mangsa terbabit disahkan maut oleh pegawai perubatan hospital manakala tiga lelaki yang menaiki dua treler itu dilaporkan selamat.

Identiti mangsa, tambahnya, belum dapat dikenal pasti setakat ini dan mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS