Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Nama tujuh pihak yang didakwa terlibat dalam kes buli di hospital kerajaan telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan.

Nama lima doktor dikemukakan oleh Pengerusi Kesihatan Negeri Pulau Pinang Norlela Ariffin hari ini, manakala dua sebelum ini dihantar oleh Exco Kesihatan Negeri Negeri Sembilan S Veerapan.

"Memandangkan kematian itu dalam siasatan polis (mengenai) apakah punca kematian, lima nama ini diberikan oleh doktor dan doktor pelatih," kata Norlela, merujuk kepada kematian doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang baru-baru ini.

Bagaimanapun, dia memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak pasti sama ada lima individu itu terlibat secara langsung dalam kes berkenaan.

"Saya tidak tahu sama ada doktor pelatih itu dibuli oleh lima orang ini," katanya kepada Malaysiakini.

Norlela merupakan antara yang lantang bersuara mengenai layanan terhadap doktor pelatih dan menyorot kematian doktor pelatih baru-baru ini - yang meninggal dunia selepas jatuh dari bangunan pejabat pada 3 Mei.

Malaysiakini tidak menerima sebarang maklum balas lanjut daripada Adun Penanti itu apabila ditanya mengapa dia tidak menyerahkan senarai nama ‘pembuli’ itu kepada kementerian jika tidak pasti penglibatan mereka dalam kes berkenaan.

Difahamkan, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah menerima senarai doktor yang didakwa ‘pembuli’.

Pada 6 Mei, Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa ia akan menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat kematian doktor pelatih itu di Pulau Pinang dan dakwaan buli dalam profesion perubatan.

Khairy mengesahkan perkara itu menerusi akaun media sosialnya.

Khairy berkata dia juga telah menerima laporan awal kematian doktor pelatih itu daripada ketua jabatan.

Dalam perkembangan berkaitan, The Vibes melaporkan bahawa polis telah merekodkan keterangan daripada bapa, abang dan teman wanita doktor pelatih yang meninggal dunia itu hari ini.

Bagaimanapun, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan memaklumkan portal berita itu bahawa polis masih belum menerima laporan bedah siasat.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS