Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Debat Saifuddin-Rafizi tumpu hubungan PKR dengan parti bukan PH

Hubungan PKR dengan parti bukan komponen Pakatan Harapan (PH) menjadi antara tumpuan debat calon timbalan presiden parti itu.

Satu perkara yang menjadi pertikaian ialah dakwaan peranan PKR dalam mencari sokongan buat Anwar Ibrahim untuk menggulingkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Penyandang Naib Presiden Rafizi Ramli mengkritik pencabarnya , penyandang Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail dengan menuntut penjelasan berhubung pertemuan Saifuddin dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Umno Najib Razak untuk mencapai kesepakatan.

Pertemuan ini - melibatkan dua seteru utama PKR - tidak diketahui umum sebelum ini.

Saifuddin, dalam mempertahankan tindakannya, menjelaskan bahawa dia mendapat mandat yang jelas untuk berbuat demikian oleh pihak atasan PKR dan PH, dan bukannya atas tindakan sendiri.

Jelasnya, langkah berunding dengan pemimpin di luar PH diambil kerana Anwar hanya kurang sejumlah kecil kerusi saja untuk menyingkirkan Muhyiddin yang mempunyai majoriti tipis.

Saifuddin akur dan berkata usaha itu bagaimanapun gagal. Namun, dia menyifatkan tindakan Rafizi mengkritiknya atas perkara itu sebagai "tidak adil" kerana dia tidak terlibat dalam mencapai konsensus keputusan berkenaan ketika itu..

“Saya ulang, pendekatan yang diguna pakai parti sekarang ialah bergerak ke hadapan dengan mengukuhkan parti, memperkukuh PH sebagai sebuah blok, dan memperbaiki kelemahan kita,” katanya.

Pada September 2020, Anwar mengumumkan dia mempunyai majoriti "kuat dan meyakinkan" untuk dilantik sebagai perdana menteri. Dakwaan serupa dibuat enam bulan kemudian. Anwar kekal sebagai ketua pembangkang parlimen sehingga hari ini.

Pada ketika itu, Rafizi tidak menghadiri mesyuarat kepimpinan parti, walaupun dia adalah naib presiden parti (melalui lantikan).

Semasa debat hari ini, Rafizi berulang kali menggambarkan dirinya sebagai pemimpin PKR yang secara konsisten membantah sebarang usaha memikat wakil rakyat untuk lompat parti selepas "Langkah Sheraton" pada Februari 2020.

"Ketika itu, ini dipersetujui (kepimpinan). Tetapi selepas itu, saya dimaklumkan bahawa pimpinan mengamalkan dasar berunding dengan pihak lain (untuk berpaling tadah)," kata Rafizi.

Tegas Rafizi, tindakan itu hanya akan merendahkan imej PH di mata pengundi dan menjejaskan gabungan itu dalam jangka masa panjang.

“Jika kita terus terlibat dalam rundingan itu, ini bermakna kita perlu menerima pemimpin yang dibenci rakyat.

"Dalam proses melakukan ini, ia akan menghakis kepercayaan rakyat. Kerana mereka melihat bahawa semua ahli politik adalah sama, bahawa kita akan melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat kita," katanya.

Saifuddin dan Rafizi hari ini dilihat berdebat tanpa melemparkan kata-kata kasar antara satu sama lain.

Rafizi beberapa kali cuba menggambarkan Saifuddin sebagai pentadbir yang berkebolehan yang juga mahir dalam diplomasi, namun turut menyifatkannya sebagai kurang visi dan kreativiti.

Sementara Saifuddin menyorot rekod prestasi Rafizi yang menarik diri daripada kepimpinan apabila situasi tidak seperti yang diinginkannya.

Ini, kata Saifuddin, telah menyekat keberkesanan presiden parti.

"Jika PKR adalah pasukan bola sepak, maka Anwar seperti pengurus kelab yang hanya beraksi dengan enam pemain kerana dia ditinggalkan tanpa timbalan dan empat naib presidennya hilang," katanya.

Saifuddin juga berkata Anwar sebagai presiden parti memerlukan seorang timbalan yang "sentiasa ada dalam susah dan senang".

Rafizi kemudian membalas bahawa presiden parti berhak mendapat timbalan presiden yang akan memainkan peranan sebagai rakan proaktif dan bukan pengikut semata-mata.

Pemilihan PKR akan bermula pada hari Jumaat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS