Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saifuddin pertahan tindakan berunding dengan parti bukan PH

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata dia tidak pernah menyesal berunding dengan ahli parlimen dan parti di luar komponen Pakatan Harapan (PH) untuk membantu menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Pada debat televisyen dengan Rafizi Ramli hari ini, Saifuddin berkata dia diberi mandat oleh PH dan PKR untuk menjalankan rundingan dan dia tidak bertindak sendiri.

"Apabila kerajaan PH jatuh, parti (PKR) berbincang, PH berbincang. Keputusan diambil. Tugasan diberi kepada beberapa pimpinan tertentu (untuk berbincang dengan MP bukan PH).

"Saya nak tegaskan, ia bukan soal Saifuddin berunding. Ia keputusan kolektif lepas parti dan PH berbincang.

"Saya diberi tugasan untuk dekati pimpinan dari Sabah dan Sarawak. Saya juga diberi peranan jumpa parti-parti luar komponen PH, ahli parlimen bebas, ahli parlimen daripada parti islam, parti Umno, semua sekali.

"Yang kita perlukan (ketika itu) bukan pindah parti, tapi komitmen dan sokongan (kepada Anwar sebagai perdana menteri)," katanya.

Saifuddin menjawab soalan yang dikemukakan oleh Rafizi, yang bertanya alasan dia terlibat dalam perbincangan dengan pemimpin Umno termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Jelas Saifuddin, rasional rundingan sedemikian ialah PH hanya memerlukan beberapa lagi ahli parlimen untuk menyingkirkan Muhyiddin Yassin.

Dia menegaskan bahawa semua perkembangan rundingan telah dilaporkan kepada gabungan itu dan ahli parlimen PH diberi taklimat.

"Kalau ini satu operasi sulit yang memudaratkan, mana mungkin kita buat secara transparent (terbuka). Ia satu ikhtiar kerana (PH) kekurangan sokongan kecil," katanya.

Saifuddin menegaskan bahawa Anwar sememangnya telah memperoleh jumlah sokongan yang mencukupi untuk menjadi perdana menteri, dan mereka telah menghantar surat kepada Istana Negara dengan semua dokumen undang-undang untuk membuktikan dakwaan berkenaan.

"Kalau tanya, jika saya menyesal, saya kata tidak. Saya laksanakan tugas diberi pimpinan PH. Alhamdulillah, walau itu tak kesampaian, saya belajar daripada episod itu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS