Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Status Umno-PAS: Dah sampai surah terakhir, kata Mat Hasan
Diterbitkan:  May 11, 2022 3:53 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Kedudukan dan status kerjasama Umno-PAS dalam Muafakat Nasional (MN) akan dimuktamadkan selepas meneliti semua pandangan pimpinan parti di pelbagai peringkat, kata Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata ketika ini, pelbagai kenyataan berhubung status Umno dalam MN yang dizahirkan pemimpin tertentu, disifatkannya sebagai hanya pandangan individu.

"Kita dah sampai surah terakhir...nak khatam atau tidak, tak tahulah.

“Jadi kita akan buat keputusan di peringkat parti.

"Nasihat saya adalah biar parti buat keputusan. Keputusan untuk 'khatam' akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik dan mesyurat Majlis Tertinggi Umno.

Gambar fail, kerjasama awal MN.

"Kepimpinan, presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) telahpun memberikan pandangan.

“Kita akan bincang pandangan dan nasihat ataupun apa yang dicakap oleh presiden dan juga pandangan-pandangan lain," katanya.

Dia yang juga dikenali sebagai Mat Hasan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Wacana Aspirasi Umno bertajuk ‘Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran’ di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur hari ini sempena sambutan penubuhan Umno ke-76.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata Umno perlu melupakan kerjasama dengan PAS melalui MN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), selain memberi bayangan mustahil kerjasama itu diteruskan jika PAS terus memperlihat sikap ‘talam dua muka’.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS