Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin menyifatkan situasi ahli politik berpaling tadah kepada parti lain itu merupakan “perkara biasa.”

Ahli parlimen Larut itu turut memberi contoh pemimpin sebelum ini yang pernah keluar parti demi kepentingan rakyat seperti perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Yang pentingnya kerajaan ini (sedia ada) adalah sebuah kerajaan yang stabil - dapat memastikan apa saja agenda kerajaan itu, dapat kita lakukan dengan terbaik supaya rakyat tak gelisah hidup dalam kepimpinan yang terumbang ambing.

“Itu yang sepatutnya kita berikan keutamaan...Jadi ahli parti yang keluar masuk itu perkara biasa yang berlaku dari dahulu lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangannya terhadap kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno Md Alwi Che Ahmad yang menasihati Umno supaya menerima semula mereka yang pernah keluar parti.

Md Alwi dipetik Astro Awani pada 8 Mei berkata Umno tidak wajar berdendam dengan mereka yang pernah meninggalkan parti dan menyertai Bersatu kerana mereka mempunyai alasan tersendiri.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga menteri dalam negeri berkata apa yang telah berlaku beberapa tahun selepas pilihan raya umum meripakan perkara yang telah berlalu.

Tanpa menyebut insiden yang dimaksudkan itu, dia menyifatkan bahawa ada yang berlaku atas perancangan dan ada juga kerana strategi yang tertentu.

“Cuba kita fikirkan almarhum Tunku Abdul Rahman - perdana menteri pertama, dia juga keluar parti.

"Ramai juga pemimpin-pemimpin Umno, bukan saja peringkat bawah tapi juga presiden-presiden parti sehinggalah Tun Mahathir sendiri.

“Itu menunjukkan agenda utama adalah untuk kepentingan rakyat, bukan individu sama ada menggunakan kaedah kepartian itu sendiri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS