Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AirAsia mohon maaf penjadualansemula penerbangan ketika Hari Raya

AirAsia mengambil maklum dan memohon maaf kepada tetamu yang telah mengalami kesulitan akibat penjadualan semula beberapa penerbangan susulan peningkatan permintaan mendadak pada musim perayaan kali ini.

CEO AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata beberapa faktor dan insiden yang tidak dapat dielakkan telah mengakibatkan kelewatan di luar jangkaan serta kawalan syarikat penerbangan itu.

“Kami berusaha sedaya upaya memastikan kesan gangguan paling minimum untuk semua tetamu dan memastikan semua dapat tiba di destinasi masing-masing dengan cepat termasuk melancarkan penerbangan khas untuk membawa penumpang yang terkandas,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Riad juga berkata antara faktor yang menyumbang kepada penjadualan semula penerbangan semasa musim perayaan ini ialah permintaan untuk penerbangan domestik telah naik dengan sangat mendadak dan pembukaan sempadan negara sejak 1 April lepas.

“AirAsia Malaysia juga kini beroperasi hanya dengan 40 pesawat berbanding hampir 100 pesawat semasa prapandemik. Ini disebabkan giliran menunggu yang panjang untuk kemudahan penyelenggaraan pesawat di Malaysia dan serantau sebelum sesebuah pesawat yang sudah lama tidak beroperasi dapat disahkan selamat untuk terbang semula sepertimana arahan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia,” katanya.

Riad Asmat

Riad berkata selain kerosakan dan masalah teknikal lazim yang ditemui semasa proses pemeriksaan rutin, berlaku insiden luar jangka seperti pintasan burung, kerosakan akibat objek asing serta panahan petir sehingga menyebabkan tiga hingga lima pesawat terpaksa dikeluarkan daripada jadual sepanjang tempoh perayaan ini.

Dia berkata keutamaan AirAsia buat masa ini ialah meminimumkan pembatalan penerbangan dan memastikan semua tetamu tiba di destinasi masing-masing dengan selamat.

Katanya setiap perubahan pada jadual penerbangan akan dimaklumkan kepada tetamu melalui e-mel dan khidmat pesanan ringkas ke nombor telefon yang didaftarkan semasa tempahan tiket.

Sekiranya memerlukan maklumat atau bantuan lanjut, tetamu boleh menghubungi talian sembang AVA melalui AirAsia Super App atau laman sesawang airasia.com atau ke kaunter perkhidmatan AirAsia di lapangan terbang terdekat.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS