Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi: Pengurusan 1MDB mesyuarat di London isu dana tambahan RM1 bilion

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa mesyuarat ahli lembaga pengarah 1MDB diadakan di London pada 16 Mei 2011 bagi membincangkan mengenai perjanjian pelaburan tambahan RM1 bilion, usaha sama 1MDB-PetroSaudi menerusi Perjanjian Pembiayaan Murabaha.

Bekas Setiausaha syarikat 1MDB Goh Gaik Kim, 54, yang turut menghadiri mesyuarat itu bersama Che Lodin Wok Kamaruddin, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Ismee Ismail, Jasmine Loo Ai Swan dan Ashvin Jethanand, berkata rancangan untuk mengadakan mesyuarat di Hotel Hilton, London dibuat oleh pihak pengurusan 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Wanita itu yang dirujuk dengan minit mesyuarat bertarikh 16 Mei 2011 berkata sebelum mesyuarat itu bermula Jasmine Loo yang merupakan peguam 1MDB, telah menyerahkan tiga set dokumen kepadanya untuk simpanan iaitu Resolusi Ahli Lembaga Pengarah, Resolusi Pemegang Saham Biasa dan Resolusi Pemegang Saham Keutamaan.

“Dokumen-dokumen ini adalah berkaitan dengan pelaburan tambahan RM1 bilion di bawah Perjanjian Pembiayaan Murabaha dengan 1MDB-PetroSaudi. Kesemua dokumen ini telah siap ditandatangani oleh semua ahli lembaga pengarah 1MDB dan Datuk Seri Najib. Bagaimanapun, perkara ini (dokumen tersebut) tidak dibincangkan semasa mesyuarat berkenaan,” katanya.

Di dalam mesyuarat tersebut, saksi berkata terdapat beberapa perkara penting yang dibincangkan termasuk pembentangan yang dibuat oleh Jasmine Loo mengenai Perjanjian Pembiayaan Murabaha.

Goh Gaik Kim

Goh yang kini merupakan Setiausaha syarikat TRX City Sdn Bhd berkata pada keesokan hari selepas mesyuarat tersebut dia pulang ke Malaysia.

“Saya ada menerima jadual lawatan tersebut. Seingat saya, terdapat beberapa acara yang diadakan sebelum atau selepas mesyuarat ahli lembaga pengarah, tetapi saya hanya menghadiri mesyuarat ahli lembaga pengarah sahaja,” kata Goh yang mula berkhidmat sebagai setiausaha syarikat 1MDB pada 31 Mac 2011 sebelum berhenti pada 1 April 2016.

Pada prosiding 2019, bekas CEO 1MDB Shahrol Azral memberitahu mahkamah bahawa pada 2011, Najib telah meluluskan dana tambahan RM1 bilion dalam perjanjian usaha sama 1MDB-PetroSaudi.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS