Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MOT, KPKT rangka garis panduan penggunaan kenderaan mikromobiliti
Diterbitkan:  May 10, 2022 5:36 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Kementerian Pengangkutan (MoT) sedang bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam merangka garis panduan penggunaan kenderaan mikromobiliti, kata Pegawai Tugas-Tugas Khas Kepada Menteri Pengangkutan Mike Chong Yew Chuan.

Beliau berkata garis panduan itu diperlukan untuk penentuan bidang kuasa pihak terlibat berhubung kenderaan seumpama itu secara keseluruhan.

“Bidang kuasa bagi kenderaan mikromobiliti adalah di bawah Kementerian Pengangkutan dan oleh sebab itu, kami mempunyai kawalan (ke atas penggunaan kenderaan tersebut) di atas jalan raya.

“Untuk kawasan selain jalan raya, ia adalah terpulang kepada KPKT untuk mewujudkan garis panduan dalam menentukan di mana kenderaan itu boleh digunakan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Chong berkata walaupun tiada jangka masa tertentu bagi pelaksanaan garis panduan itu, MoT sedang menggesa agar ia disiapkan secepat mungkin.

Beliau turut menjelaskan bahawa larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti hanyalah di atas jalan raya dan bukanlah larangan secara menyeluruh.

"MoT tidak pernah melaksanakan larangan penuh penggunaan kenderaan seperti itu. Orang awam masih boleh menggunakan kenderaan tersebut, tetapi hanya di tempat-tempat yang dikhaskan yang akan ditentukan oleh KPKT dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada 26 April lepas mengumumkan kenderaan mikromobiliti seperti Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA) dilarang digunakan di atas jalan raya awam.

Beliau berkata penggunaan kenderaan itu di atas jalan membahayakan bukan sahaja pengguna kenderaan tersebut, malah pengguna lain.

Wee turut dilaporkan berkata larangan terhadap tiga kategori kenderaan mikromobiliti itu dilaksanakan mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas (Larangan Penggunaan Kenderaan Mobiliti Tertentu) 2021 yang berkuat kuasa 17 Dis 2021.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS