Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangkitan baru Covid-19 lebihi 2,000 kes semula, 4 kematian
Diterbitkan:  May 9, 2022 9:28 AM
Dikemaskini: 3:55 AM

Kes harian Covid-19 di negara ini kembali melepasi angka 2,000 iaitu sebanyak 2,153 kes dilaporkan semalam.

Daripada jumlah itu, 2,151 kes adalah penularan tempatan manakala hanya dua kes adalah import. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kumulatif menjadi sebanyak 4,458,889.

Jumlah kes aktif sebanyak 22,557, turun 66.8 peratus jika dibandingkan dengan 14 hari lalu.

Jumlah kes baru berdasarkan negeri:

Selangor (1,157)

Kuala Lumpur (261)

Pulau Pinang (156)

Negeri Sembilan (105)

Perak (91)

Johor (81)

Kedah (63)

Melaka (63)

Pahang (35)

Sarawak (34)

Terengganu (34)

Sabah (29)

Kelantan (25)

Putrajaya (7)

Perlis (6)

Labuan (6)

Sebanyak empat lagi kematian dilaporkan semalam, di mana tiga daripadanya meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital.

Sejak minggu lepas, purata 4.7 orang dilaporkan meninggal dunia, sementara purata untuk 30 hari pula sebanyak 10.8, yang menunjukkan pola menurun.

Sebanyak 36 korban akibat Covid-19 bulan ini. Manakala, terdapat 564 laporan kematian bulan lepas dan 2,235 kematian pada bulan Mac.

Sejak pandemik melanda pada Mac 2020, sebanyak 35,583 kematian akibat Covid-19 direkodkan.

Kes kematian semalam dilaporkan di Selangor (2), Kedah (1) dan Perak (1).

Kini seramai 1,075 pesakit sedang dirawat di hospital, dengan 88 orang dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bilangan kemasukan ke hospital tertinggi semalam dilaporkan di Johor (124) disusuli dengan Selangor (124) dan Sabah (63).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan kes baru Covid-19 di negara ini bagi minggu epidemiologi (ME) ke-18 yang bermula dari 1 hingga 7 Mei, menurun sebanyak 58.3 peratus iaitu kepada 8,732 kes berbanding 20,937 kes pada minggu sebelum ini.

Katanya, perkembangan itu menyaksikan jumlah kes tempatan menurun sebanyak 58.3 peratus atau 20,876 kes kepada 8,703 kes dan kes import berkurang 52.5 peratus atau 61 kes kepada 29 kes.

“Bilangan kes sembuh pada ME ke-18 menurun sebanyak 45.1 peratus atau 56,352 kes kepada 30,930 kes, berbanding ME ke-17 dan kumulatif individu pulih ialah 4,397,881.

“Kes kematian pada ME ke-18 menurun sebanyak 42.9 peratus (56 kes kepada 32 kes) berbanding ME ke-17 dan menjadikan kumulatif kematian kini 35,579,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan iaitu hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk juga menurun 27 peratus untuk ME sama berbanding ME sebelumnya.

“Kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 50 peratus melibatkan semua kategori pesakit.

“Secara keseluruhan, peratusan penggunaan katil Covid-19 bukan kritikal turun 21 peratus; katil Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun 20 peratus dan katil PKRC pula menurun 100 peratus,” katanya


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS