Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM pesan berikan perhatian, kasih sayang kepada ibu
Diterbitkan:  May 8, 2022 8:18 PM
Dikemaskini: 12:19 PM

Bersempena Hari Ibu yang disambut hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan anak-anak agar memberi kasih sayang sepenuhnya kepada ibu semasa mereka masih ada.

Dalam catatan di laman Facebooknya, beliau yang mengucapkan Selamat Hari Ibu berkata jasa ibu tidak terbalas, dan wang ringgit bukan segala-galanya, tetapi kasih sayang dan perhatian memadai menjadi pengubat hati yang penuh kerinduan.

"Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia. Begitulah diumpamakan kehebatan seorang ibu dalam mencorak hidup anak supaya menjadi insan yang berguna dan berjasa dalam pembangunan negara," katanya.

Ismail Sabri Yaakob turut tidak ketinggalan mengimbau semula kenangan bersama arwah ibunya, Wan Jah Wan Mamat dalam mendidiknya menjadi seorang insan berguna.

Ismail Sabri berkata ibunya banyak mencorak hidupnya agar dapat menjadi insan yang berbakti kepada seluruh Keluarga Malaysia dan mendidik beliau serta adik beradik dengan penuh kasih sayang.

"Kami anak kampung yang serba kekurangan dan arwah maklah yang menyempurna dan membahagiakan kami dengan cara mak yang tersendiri. Kelembutan dan keikhlasan arwah mak dalam membesarkan anak-anak dengan begitu tabah sekali.

"Terima kasih mak atas segala jasa yang dicurahkan… yang tidak mampu insan bergelar anak membalas jasa mak," katanya.

‘Ratu hati’

Sementara itu, beberapa pemimpin menzahirkan penghargaan kepada ibu masing-masing sempena sambutan Hari Ibu hari ini.

Menerusi catatan di Facebook, mereka mengambil peluang mengimbau jasa dan pengorbanan ibu selama ini yang disifatkan sebagai tidak terbalas meskipun dengan wang ringgit.

Memuat naik gambar ibu, pemimpin terbabit meluahkan rasa cinta dan kasih yang mendalam terhadap 'ratu hati’ masing-masing di samping mendoakan kesejahteraan mereka.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menzahirkan ucapan terima kasih kepada ibu yang telah membesar dan mendidik beliau.

“Ibu kita, walau meningkat usia, jasa mendidik kita sepanjang hayat tak akan terbalas. Pengorbanan ibu membesarkan kita dari kecil sukar untuk dibayar dengan wang ringgit, apa yang diharapkan hanyalah kasih sayang anak-anak sehingga ke hujung nyawa.

“Terima kasih mama kerana membesarkan kami. Kami doakan mama murah rezeki dan panjang umur,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua ibu di negara ini atas pengorbanan yang telah dicurahkan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pula berkata tiada pengorbanan lebih besar daripada pengorbanan seorang ibu yang melahir dan membesarkan anak dengan penuh kasih sayang.

"Tangan yang menghayun buaian bisa menggoncangkan dunia. Betapa besarnya peranan dan tanggungjawab seorang ibu yang telah mendidik kita semua sehingga kita berjaya menjadi insan yang berguna demi keluarga, masyarakat dan negara.

“Benarlah kasih ibu membawa ke syurga,” katanya.

Bagi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, kasih sayang seorang ibu tiada tolok bandingnya.

“Gelaran ibu adalah dambaan setiap wanita. Kasih ibu tiada tolok bandingnya, kedudukan ibu sangat mulia, ibu tempat bermanja pengubat segala duka.

“Ibu adalah wanita terpenting dalam hidup setiap insan. Tanpa ibu, tiadalah kita di muka bumi ini,” katanya.

Beliau berkata sempena sambutan Hari Ibu, masyarakat perlu mengambil peluang bertemu dengan ibu bapa masing-masing dan ini merupakan perkara yang amat dinanti-nantikan oleh mereka.

“Tiada batas waktu untuk menghargai jasa dan pengorbanan ibu namun marilah kita menyantuni mereka melalui sambutan Hari Ibu, kita raikan ibu tercinta sebagai tanda kasih sayang pada semua ibu di Malaysia.

“Selamat Hari Ibu kepada semua wanita yang bergelar ibu terutama ibu saya Puan Taiyibah Haji Rusli,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS