KATA MP | Kenaikan harga baja adalah fenomena global yang akan menyebabkan berlakunya inflasi pertanian.
Ia kemudiannya memberikan kesan kepada kos operasi dan proses kitaran pengeluaran.
Pemberian subsidi misalnya, adalah diperlukan bagi membantu mengurangkan bebanan akibat peningkatan pada kos operasi.
Kerajaan boleh memulakan dengan memperuntukkan sejumlah subsidi tunai sebanyak RM100 kepada setiap petani, misalnya bagi setiap satu tan sayur-sayuran yang dihasilkan.
Ini sebagai usaha membantu mengurangkan kesan kenaikan besar terhadap kos baja yang kini meningkat daripada RM120 kepada sekitar RM200.
Kenaikan ini dipercayai turut dipengaruhi oleh isu pencerobohan dan ketidaktenteraman yang berlaku antara Rusia dan Ukraine sejak 24 Februari 2022 yang lalu.
Ukraine merupakan antara pengeluar terbesar bagi sumber pengeluaran yang berasaskan baja dan tanaman sehingga dikenali sebagai ‘the bread basket of Europe’.
Krisis iklim, cuaca tak tentu
Ini kerana Ukraine menjadi antara pembekal utama bijirin, oat, barli, jagung, dan gandum.
Mengambil kira krisis perubahan iklim serta ketidaktentuan cuaca, risiko cuaca yang buruk akan menjejaskan tanaman serta menghapuskan sumber pengeluaran.
Sekitar Disember 2021 sahaja, kelembapan hujan yang tinggi yang direkodkan adalah menyamai keseluruhan hujan tahunan pada tahun 2020 sehingga akhirnya menimbulkan ‘dilema’ bagi golongan petani untuk meneruskan kegiatan pertanian sekiranya cuaca tidak menentu.
Krisis ketidakseimbangan ini seharusnya dijadikan sebagai satu peluang untuk melihat semula kelompongan dan jurang sedia ada bagi memperbaharui rantaian nilai agro.
Ia bagi melindungi dan menjamin kedaulatan makanan negara.
Justeru, kerajaan perlu menyatakan solusi yang lebih baik bagi menangani tiga permasalahan utama di sini;
Pertama, kenaikan harga baja serta kos operasi;
Kedua, nasib golongan petani dan pengeluar tempatan;
Ketiga, ketidakstabilan jaminan bekalan makanan untuk masa hadapan.
SALAHUDDIN AYUB ialah Timbalan Presiden Parti Amanah Negara merangka ahli parlimen Pulai dan Adun Simpang Jeram.
Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.