Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pilihan raya presiden Filipina boleh beri petunjuk PRU15'
Diterbitkan:  May 8, 2022 2:53 PM
Dikemaskini: 6:53 AM

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang percaya sekiranya Ferdinand Marcos Jr menang dalam pilihan raya presiden Filipina esok, ia boleh menjadi petunjuk terhadap kuasa media sosial dan berita palsu.

“Marcos Jr (gambar di atas), yang bapanya digulingkan kerana rasuah besar-besaran dan pencabulan hak asasi manusia dalam revolusi rakyat pada 1986, adalah calon presiden dalam pilihan raya 9 Mei.

“Popularitinya adalah berdasarkan nostalgia kononnya kemakmuran dan ‘zaman keemasan’ masyarakat Filipina semasa pemerintahan diktator bapanya pada 1980-an.

“Pemerhati politik dan penyelidik penyelewengan fakta berkata kempennya didorong oleh rangkaian penyebaran maklumat dan propaganda besar,” kata Lim yang juga anggota Parlimen Iskandar Puteri, dalam satu kenyataan, hari ini.

Dia turut menekankan kajian oleh akhbar Vera Files iaitu rakan penyemak fakta Facebook di Filipina, menunjukkan Marcos Jr mendapat manfaat daripada siaran "mengelirukan" di media sosial manakala pencabar utama yang juga penyandang naib presiden Leni Robredo adalah mangsa utama penyelewengan fakta.

Lim memetik pemenang Hadiah Nobel Keamanan dan wartawan Filipina Maria Ressa, yang berkata pilihan raya presiden Filipina adalah "mikrokosmos pertempuran global untuk fakta".

Dia juga memetik pengarang Milan Kundera: "Perjuangan manusia melawan kuasa adalah perjuangan ingatan melawan lupa."

“Kerajaan Filipina telah mendapatkan semula AS$3.3 bilion daripada anggaran AS$10 bilion yang dituduh dicuri oleh keluarga Marcos, tetapi aset AS$2.4 bilion masih dalam litigasi, dengan pelbagai kumpulan bertelagah mengenainya.

"Sekiranya Marcos memenangi jawatan presiden, ramai yang bimbang prosiding itu, bersama-sama dengan cukai harta pusaka AS$3.9 bilion, akan dihapuskan serta mengukuhkan idea palsu bahawa Marcos tidak bersalah," tambah Lim.

Marcos pada zaman pemerintahannya mengisytiharkan undang-undang ketenteraan dan berkhidmat lebih daripada 20 tahun sebagai presiden dengan melakukan banyak pelanggaran hak asasi manusia, pembunuhan dan menjarah perbendaharaan negara dengan rasuah. Isterinya, Imelda juga terkenal di seluruh dunia kerana obsesnya terhadap barangan mewah berjenama.

‘Era keemasan’ kleptokrasi

Walaupun veteran DAP itu tidak menamakan mana-mana pemimpin Malaysia dalam kenyataannya, ia menggambarkan amarannya baru-baru ini bahawa bekas perdana menteri Najib Razak boleh kembali berkuasa walaupun kini disabitkan dengan tuduhan rasuah.

“Adakah pilihan raya umum ke-15 (PRU15) Malaysia akan menjadi ujian seterusnya di Asia Tenggara dalam ‘mikrokosmos pertempuran fakta global’?

“Adakah pembohongan, berita palsu, maklumat palsu dan teori konspirasi akan berjaya mengatasi kebenaran dan fakta dalam PRU15 di Malaysia?”

"Jika Marcos Jr boleh memenangi pilihan raya presiden Filipina pada hari Isnin dengan gambaran palsu era Marcos pada 1980-an sebagai 'era keemasan' Filipina, ini akan menggoda peniru di Malaysia untuk menggambarkan zaman kleptokrasi sebagai 'era keemasan' Malaysia,” ujar Lim.

Dia memetik wabak Covid-19 sebagai satu lagi petanda bahawa ramai individu tidak dapat membezakan fakta dan fiksyen dan masih menafikan kesan Covid-19 walaupun sekurang-kurangnya 6.2 juta kematian direkodkan.

“Walaupun hari ini, di tengah-tengah pandemik, terdapat golongan di seluruh dunia yang menganggap bahawa Covid-19 adalah palsu dan tidak benar-benar wujud – selepas jangkitan lebih 500 juta dengan angka rasmi.

“Bolehkah rakyat Malaysia belajar membezakan antara kebenaran dan fakta di satu pihak dan pembohongan, berita palsu dan maklumat salah di pihak yang lain menjelang PRU15?” soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS